Parti Pembangkang Tiada Jasa Kepada Rakyat Perlis - Shahidan Kassim




KANGAR, 23 Julai (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim berkata parti pembangkang yang ingin menentang Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) mesti mampu menjaga kebajikan rakyat negeri ini dengan cemerlang seperti BN.

"Parti-parti ini belum ada rekod membantu rakyat Perlis, apatah lagi cemerlang. Lagipun di Perlis ini tiada isu tempatan untuk dijadikan bahan kempen tapi itu hak mereka untuk bertanding di sini,"katanya.

"Orang yang hendak tubuh dan kendali parti baharu perlu ada jasa kepada rakyat,"katanya yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO ketika ditemui pada majlis jamuan Aildiftri Jabatan Pertahanan Awam Perlis (JPAM) di sini hari ini.

Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri diminta mengulas pelancaran kempen #pakatkalih dan penubuhan bilik gerakan pilihan raya Pakatan Harapan Perlis di Tambun Tulang di Arau, petang semalam.

Katanya BN Perlis tidak rasa tergugat dengan kempen pembangkang kerana yakin rakyat boleh menilai sumbangan BN khususnya UMNO.

Katanya beberapa projek yang ada keperluan untuk rakyat tetapi tidak dimohon sedang dikenal pasti selain 600 rumah golongan kurang bernasib baik akan mula dibaiki minggu depan.

Mengenai calon UMNO Perlis untuk menghadapi PRU14, Shahidan berkata keputusan mencalonkan mereka dibuat di peringkat cawangan oleh semua empat sayap parti.

Katanya lima atau enam nama bagi setiap kerusi (DUN dan Parlimen) dan 30 peratus adalah daripada kalangan wanita telah dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak selaku Presiden parti, untuk dipilih.

"Saya fikir Presiden dengar pandangan rakyat,"katanya sambil mengulangi UMNO Perlis tetap dengan pendirian menolak calon 'payung terjun' tetapi jika ada yang difikirkan sesuai dan boleh menang hendaklah diperkenalkan pada masa ini.

Perbezaan pendapat mengenai calon payung terjun menyusahkan parti dan kita boleh bergaduh sesama sendiri. Jika ada bawa sekarang. Saya akan bantu promosi dan sokong dia. Kita tidak perlukan orang yang hendak jawatan sahaja tetapi tidak menyumbang kepada parti,"kata Shahidan.

Katanya calon-calon yang tidak bersih atau terpalit dengan rasuah akan ditolak sama sekali.

-- BERNAMA