Anggota Parlimen Labuan Bertemu PM Bincang Pembangunan, PRU14




LABUAN, 26 Julai (Bernama) -- Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli hari ini mengadakan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan membincangkan mengenai masa depan dan kemajuan pembangunan pulau ini.

Beliau juga memberi taklimat kepada Najib yang juga Presiden UMNO mengenai persiapan UMNO dan BN Labuan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Perdana Mentetri kerana meluangkan masa walaupun mempunyai jadual yang ketat, kami membincangkan pelbagai isu ekonomi dan pembangunan infrastruktur dan juga Pelan Induk Pembangunan Labuan yang dijangka dilancarkan pada hari Wilayah Persekutuan pada Februari tahun depan ," kata beliau kepada Bernama ketika dihubungi di Kuala Lumpur Rabu.

Beliau juga memaklumkan kepada perdana menteri tentang perlunya memberi lebih perhatian kepada situasi ekonomi semasa di Labuan yang teruk terjejas berikutan kemerosotan sektor Minyak dan Gas (O&G).

Rozman juga memberitahu Najib bahawa Labuan memerlukan beberapa langkah jangka pendek untuk meringankan kesulitan yang dihadapi oleh penduduk Labuan.

Semasa perbincangan, perdana menteri meluluskan beberapa permintaan anggota parlimen Labnuan itu seperti peruntukan untuk membantu peniaga kecil dan juga nelayan pantai selain peruntukan untuk projek kecil infrastruktur.

-- BERNAMA