Wanita Optimis BN Sapu Bersih Tiga Kerusi




TENOM, 27 Julai (Bernama) -- Pergerakan Wanita Umno Tenom optimis Barisan Nasional (BN) akan menyapu bersih ketiga-tiga kerusi di Parlimen Tenom termasuk dua kerusi negeri untuk BN.

Ketuanya Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan berkata, keyakinan itu berdasarkan sokongan kuat yang ditunjukkan oleh rakyat di kawasan itu.

"Kami akan pastikan ketiga-tiga kerusi ini terus dipertahankan oleh BN. Pembangkang tidak kuat di sini.

"Sebanyak 98 peratus rakyat di sini masih menyokong BN," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.

Rahmajan juga berkata program Jalinan Rakyat aktif bergerak mendekati rakyat, terutama di kawasan kampung dan akan terus bekerja demi kebajikan rakyat serta membawa imej kerajaan BN yang prihatin dan penyayang.

Mengenai desas-desus mengatakan beliau akan dicalonkan untuk kerusi negeri bawah Parlimen Tenom, Ketua Wanita UMNO Bahagian Tenom itu menafikannya dan berkata sekiranya beliau berhasrat menjadi calon dikhuatiri akan memperkecilkan hati masyarakat Murut yang majoriti di kawasan itu.

"Biarlah masayarakat Murut yang menentukan siapa calon pilihan mereka. Bagaimanapun saya akur kepada keputusan kepimpinan parti untuk menentukan siapa yang akan dicalonkan pada PRU akan datang," katanya.

-- BERNAMA