30 Cawangan Baharu Bukti BN Pilihan Rakyat
LAHAD DATU, 27 Julai (Bernama) -- Ketua UMNO Bahagian Silam Datuk Mohd Yusof Apdal menyifatkan penambahan 30 cawangan baharu bahagian itu petanda kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO tetap menjadi pilihan utama rakyat Sabah, khususnya di daerah Lahad Datu.
Katanya, perkembangan positif itu sekali gus membuktikan parti keramat itu semakin kukuh bertapak di Lahad Datu dengan sehingga kini terdapat lebih 480 cawangan dibuka meliputi kawasan dewan undangan negeri (DUN) Lahad Datu, Kunak serta Tungku.
"Kita sentiasa menggalakkan orang ramai masuk UMNO melalui cawangan-cawangan sebab itu kebelakangan ini kita dapat menubuhkan kira-kira 30 cawangan lagi, sekali gus menjadikan Silam terus mempunyai cawangan terbanyak di Malaysia
"Ini juga pendekatan untuk memastikan UMNO Silam terus kukuh dengan memberikan ruang kepada mereka yang mahu menganggotai parti supaya memohon di cawangan," katanya ketika ditemui BERNAMA di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, pendekatan pembukaan cawangan itu juga sebagai pemudah cara agar parlimen Silam yang luas itu diurus tadbir dan anggota parti serta rakyat turut terbela.
Dalam pada itu, Yusof menasihatkan agar anggota parti terus bersatu untuk menang pada pilihan raya umum dan tidak berpuak-puak kerana itu melemahkan parti.
Beliau berkata, anggota UMNO yang keluar parti dan menyertai blok pembangkang merupakan golongan yang tidak komited bekerja sewaktu dalam parti, sebab itu mereka mudah dipengaruhi pembangkang.
"Berbanding anggota UMNO yang aktif, mereka ini masih setia bersama kita kerana mereka menilai parti ini dari sudut berbeza," katanya lagi.
-- BERNAMA