Anggota UMNO Diminta Tidak Bernostalgia Terhadap Pemimpin Tinggalkan Parti




KLUANG, 28 Julai (Bernama) -- Anggota UMNO tidak perlu tidak bernostalgia dan taksub terhadap pemimpin tertentu yang telah meninggalkan parti, sebaliknya harus memandang ke depan dan meneruskan usaha memartabatkan bangsa, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya ini bagi memastikan UMNO terus relevan kepada orang Melayu.

"Kita tidak pernah mengetepikan pemimpin yang pernah berjasa ini tetapi pada masa yang sama kita perlu mara ke depan daripada bernostalgia terhadap mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kluang di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

Dalam ucapannya sebelum itu, Asyraf Wajdi yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengingatkan anggota UMNO agar merapatkan saf dan menanam niat yang ikhlas dalam perjuangan.

"Berlaku 'kudis', 'kurap' dan 'calar' dalam parti itu perkara biasa, tetapi apabila kita duduk dalam satu pasukan, tiada orang akan bercakap tentang kudis, malah, parti lawan juga akan gerun terhadap kita dengan syarat kita teguhkan saf," katanya.

-- BERNAMA