UMNO Sedia Gerak JR Plus Untuk Yakinkan Rakyat Kedah
ALOR SETAR, 28 Julai (Bernama) -- Semua jentera UMNO di Kedah diminta untuk menggerakkan Jalinan Rakyat (JR) Plus dalam usaha untuk meyakinkan rakyat di negeri ini bahawa parti itu mampu membawa kebaikan kepada mereka.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata JR Plus juga merupakan satu daripada inisiatif parti untuk memantapkan lagi jentera Barisan Nasional (BN) sebelum tiba Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Semua jentera UMNO perlu bekerja keras, termasuk parti komponen BN iaitu MIC, MCA, dan Gerakan, dalam mendekati pengundi di kawasan masing-masing bagi mendapatkan keyakinan mereka terhadap parti kerana kita sedang berdepan dengan cabaran yang lagi hebat berbanding PRU sebelum ini.
"Kita kena ceritakan kepada rakyat bila kita kalah bagaimana keadaan di negeri Kedah.. Kita juga perlu yakinkan rakyat bahawa parti ini mampu membawa kebaikan walaupun telah dilontarkan dengan pelbagai tuduhan oleh parti lain," katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Alor Setar di sini, hari ini.
Pada 14 April lalu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak melancarkan Jalinan Rakyat (JR) Plus bagi menggerakkan jentera yang menggabungkan kekuatan di semua struktur dan sayap bagi menghadapi PRU14.
Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah berkata gerak kerja perlu sentiasa berjalan bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat termasuk segala usaha yang telah dilakukan BN dalam menjaga kebajikan rakyat selain mengekang tindakan pihak pembangkang yang cuba mengambil kesempatan.
"Kita kena sentiasa bekerja kalau tidak kita tahu musibahnya.. Kita pernah ada pengalaman kalah sebelum ini, jadi kita tidak mampu untuk hilang kuasa yang ada tambahan pula kita tidak yakin parti lain boleh bawa kemajuan kepada negara.
"Rakyat perlu lihat apa yang telah parti buat selepas diberi kepercayaan untuk mentadbir negara berbanding masa pentadbiran parti pembangkang sebelum ini. Mereka perlu terus beri kepercayaan kepada parti untuk mentadbir negara pada PRU14 ini," katanya.
Ahmad Bashah berkata beliau yakin peluang untuk menang pada PRU14 ini cerah kerana rakyat boleh melihat sendiri apa yang telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan.
"Peluang nak menang ada, jadi semua jentera perlu bersatu hati dan bersungguh-sungguh untuk menghadapi PRU14 tidak lama lagi," katanya.
-- BERNAMA