PRU14: Parti Komponen Digesa Bantu Kemenangan BN




KULIM, 28 Julai (Bernama) -- Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) digesa berusaha bersama-sama dengan UMNO dalam memastikan kemenangan parti pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Mengambil contoh Parlimen Padang Serai, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata lebih 50 peratus pengundi di kawasan itu merupakan pengundi Melayu namun calon-calon yang bertanding pada PRU13 kebanyakannya calon parti-parti komponen.

"Sepatutnya mereka (parti komponen) bekerjasama dengan UMNO dan turun ke bawah atas tiket BN untuk memastikan kemenangan? jangan biarkan UMNO sahaja yang jalankan aktiviti atau program untuk menyokong calon BN.

"...isu-isu yang dimainkan DAP, sepatutnya parti komponen patut bangun dan serang mereka (DAP) habis-habisan..," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Padang Serai di sini, hari ini.

Pada PRU13, kerusi Parlimen Padang Serai dimenangi oleh N.Surendran dari PKR manakala Dewan Undangan Negeri (DUN) Merbau Pulas dimenangi oleh Datuk Siti Ashah Ghazali (PAS) dan DUN Lunas dimenangi Azman Nasruddin (PKR).



-- BERNAMA