Ismail Sabri Mahu Pemimpin Akar Umbi Main Peranan Jawab Fitnah




SANDAKAN, 29 Julai (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta pemimpin parti di akar umbi memainkan peranan mereka menjawab fitnah yang disebarkan pembangkang dengan menjelaskan duduk sebenar sesuatu perkara kepada masyarakat.

Beliau berkata tugas menangkis fitnah itu tidak sewajarnya diletakkan pada pemimpin peringkat tertinggi sahaja memandangkan pembangkang tidak pernah berhenti daripada menyebarkan pembohongan.

"Pembangkang hidup dengan fitnah, kalau tidak dijawab akhirnya akan mengubah persepsi masyarakat kerana jika fitnah itu tidak dijawab seolah-olah fitnah itu benar.

"Setiap isu yang dibangkitkan oleh parti pembangkang kita tahu semua bohong dan apabila ia dijawab akhirnya dapat memberi penjelasan kepada rakyat untuk mereka mengetahui perkara sebenar," katanya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Batu Sapi, di sini hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata terdapat banyak cara untuk berbuat demikian misalnya Wanita UMNO boleh melakukan kunjungan dari rumah ke rumah manakala Pemuda dan Puteri pula menerusi alam siber.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi Datuk Samsudin Yahya menyatakan kesetiaan UMNO Batu Sapi terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden parti serta kepada Datuk Seri Musa Aman sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah.

-- BERNAMA