UMNO Lebih Baik Tanpa Mahathir - Mahdzir Khalid
MARANG, 29 Julai (Bernama) -- Keengganan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kembali kepada UMNO tidak perlu dikesali kerana situasi itu lebih baik untuk parti, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata walaupun Dr Mahathir pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun, namun tindakannya menyerang UMNO sejak dua tahun kebelakangan ini adalah perbuatan yang amat teruk.
"Kalau dia kata tak nak masuk (UMNO) pun elok lah. Kita tidak rasa kesal langsung dengan (pendirian) itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Marang di sini, hari ini.
Semalam, Dr Mahathir melalui sebuah video klip yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook berkata beliau tidak akan kembali semula kepada UMNO walaupun Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lagi menjadi perdana menteri dengan dakwaan parti itu sudah jauh tersasar dari matlamat asalnya.
Ditanya sama ada Pakatan Harapan akan menjadi ancaman pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mahdzir berkata ia bukanlah perkara baharu untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"UMNO dan BN telah berdepan dalam 13 pilihan raya. Dahulu pembangkang hanya PAS, kemudian bergabung dalam Barisan Alternatif, seterusnya Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan. Rakyat yang akan menilai jasa kita (UMNO dan BN) selama 60 tahun ini," katanya.
-- BERNAMA