UMNO Selangor Digesa Belajar Daripada PRU-13




SEPANG, 29 Julai (Bernama) -- UMNO Selangor perlu belajar daripada kekalahan besarnya pada pilhan raya umum (PRU) ke-13 agar kesilapan sama tidak berulang pada PRU-14, kata Pengerusinya Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata jika anggota UMNO berjuang tanpa merujuk kepada sejarah, mereka akan hilang panduan sekali gus akan mengalami kegagalan yang lebih dahsyat berbanding sebelum Ini.

"Anak-anak Pemuda UMNO mesti sedar diri siapakah kita di Selangor. Kita adalah pembangkang. Jangan malu sebut pembangkang.

"Kita mesti fikir sebagai pembangkang. Lihatlah cara pembangkang di Parlimen. Kita mesti berani bersuara dan meminta kerajaan negeri selesaikan masalah sampah haram, denggi dan kencing tikus," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Sepang di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Datuk Marsum Paing, Timbalannya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Dengkil Shahrum Mohd Sharif dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Noor Azli Mohd Said.

Sementara itu, Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mahu seluruh jentera UMNO Bahagian Sepang memberi sepenuh tumpuan untuk merampas semula kerusi Parlimen Sepang dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) -- Tanjong Sepat dan Sungai Pelek daripada pembangkang.

Katanya Sepang sebelum ini dikenali sebagai kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional, namun hanya mampu memenangi satu kerusi DUN iaitu Dengkil ketika pilihan raya lalu.

"Kita perlu komited untuk merampas semula Tanjung Sepat dan Sungai Pelek daripada parti lawan dengan bermula hari ini melancarkan strategi untuk memenangi hati rakyat.

"Jika ada kesatuan dan kerjasama daripada seluruh anggota UMNO, Insya-Allah kita boleh tawan semula negeri Selangor," katanya.

-- BERNAMA