UMNO: Pemuda Perlu Lebih Berani Di Barisan Hadapan
KOTA BELUD, 30 Julai (Bernama) -- Pergerakan Pemuda UMNO di seluruh negara perlu lebih berani berada di barisan hadapan bagi mempertahankan hak orang Melayu dan Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.
Beliau berkata Pemuda UMNO tidak boleh berkompromi dalam hal itu sebaliknya perlu lantang bersuara jika ada pihak yang cuba mencabar dan mengusik hak orang Melayu dan Bumiputera.
"Saya harap Pemuda UMNO mesti kekal sebagai benteng kekuatan parti dan berani mempertahankan hak orang Melayu dan Bumiputera kerana itulah perjuangan parti," katanya semasa berucap merasmikan mesyuarat sayap Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Kota Belud di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Belud Datuk Musbah Jamli yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Ketua Pemuda UMNO Kota Belud Arsad Bastari, Ketua Wanita UMNO Kota Belud Eyung Latun dan Ketua Puteri UMNO Kota Belud Masnatu Satung.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Wanita UMNO perlu lebih proaktif menggerakkan Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) ke kawasan kampung bagi memberi penjelasan kepada anggota akar umbi mengenai tohmahan pembangkang terhadap UMNO dan kerajaan supaya mereka tidak terpengaruh dengan fitnah tersebut.
Pergerakan Puteri UMNO juga perlu bekerja lebih keras bagi menarik lebih ramai pengundi muda dalam kalangan belia wanita untuk bersama-sama menyertai perjuangan parti," katanya.
Beliau turut mengingatkan ketiga-tiga sayap parti itu untuk sentiasa bersedia dan memperkukuh kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada bila-bila masa selain mahu parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk bersama-sama bekerja kuat memastikan kemenangan berpihak kepada parti.
Di KULIM, Pemuda UMNO diingatkan agar jangan memandang remeh isu-isu persepsi yang dimainkan oleh pihak pembangkang, kata Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor.
Beliau berkata, permainan persepsi sentiasa menjadi senjata pihak pembangkang dalam menimbulkan fitnah yang sekali gus boleh menjadi punca perpecahan dalam UMNO.
"Melalui persepsi, mereka akan menanam elemen fitnah di dalam minda yang seterusnya menimbulkan dendam di kalangan ahli-ahli kita.
"Disebabkan itu, amat penting diberikan penjelasan yang menyakinkan dari kerajaan dan jentera parti dalam pelbagai isu yang ditimbulkan pembangkang terutama melibatkan isteri atau keluarga pemimpin utama parti," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Padang Serai di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Padang Serai, Raqib Abu Hassan dan Ketua Bahagian UMNO Padang Serai, Datuk Asmadi Abu Talib.
Rizal berkata, penciptaan persepsi dan isu panas oleh pihak pembangkang bukan saja berlaku di bawah kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi sejak dari dahulu lagi.
-- BERNAMA