Anggota Umno Diingatkan Jangan Jadi Seperti Ketam Dalam Bakul




PETALING JAYA, 30 Julai (Bernama) -- Anggota UMNO diingatkan agar tidak menjadi seperti 'ketam di dalam bakul' yang cuba melepaskan atau menaikkan diri masing-masing dengan cara memijak orang lain, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas timbalan presiden UMNO itu sebaliknya meminta agar anggota parti itu bersikap seperti semut, yang sentiasa 'bersalam' dengan rakannya yang lain apabila bersua.

"Masalah kita ini, semangat macam ketam dalam bakul, ketam punya perangai apabila dalam bakul dia pijak sesama sendiri sebab dia nak keluar daripada bakul dan selamatkan diri dia atau menonjolkan dirinya.

Tetapi akhirnya kerana terpijak sesama sendiri, semua ketam itu mati sedangkan sepatutnya ada seekor ketam yang boleh keluar dan mendapatkan bantuan untuk menjatuhkan bakul itu agar semua ketam tadi dapat keluar," katanya semasa berucap menutup persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kelana Jaya di sini Ahad.

Ahmad Zahid berkata beliau membuat kiasan itu untuk mengingatkan anggota UMNO bahawa masalah itu berlaku dalam parti termasuk di Selangor.

Beliau berharap semua pimpinan di peringkat negeri dapat bersatu demi merampas semula Selangor daripada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

"Telitilah dalam-dalam kiasan atau ibarat yang saya sebutkan tadi, mudah-mudahan kita dapat terjemahkan semangat kebersamaan dan kekitaan kita," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan bahawa usaha mendapatkan sokongan pengundi di kawasan bandar terutama di Selangor ini memerlukan pendekatan baharu menerusi teknologi media sosial.

"Kita di Kelana Jaya kalau mahu menang kena guna teknologi dan media sosial sebab orang di bandar suka diketuk hatinya dan mindanya menerusi komunikasi media sosial bukan diketuk rumahnya kerana itu akan mengganggu privasinya," katanya.

Ahmad Zahid turut meminta anggota UMNO di negeri ini untuk sentiasa bersedia menghadapi serangan pihak pembangkang, selain serangan daripada musuh yang berada dalam UMNO sendiri.

Katanya serangan dari dalam itu boleh berlaku apabila ada individu yang tidak berpuas hati kerana tidak memperoleh apa yang dihajatkan seperti menjadi calon pilihan raya.

"Musuh luar kita kenal, musuh yang menyerang kita kenal, serangan mereka dalam pelbagai isu, itu biasa kerana ia lumrah politik.

Tetapi yang menyakitkan ialah kawan-kawan yang menjadi musuh dari dalam terutamanya apabila dia mahu jadi calon tidak dapat jadi calon dan frust menonggeng dan mulalah dia cucuk sana cucuk sini, sabotaj sana sini," katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan RM400,000 bagi membaik pulih dan menaik taraf Dewan Budiman Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sunway di sini.



-- BERNAMA