Kemajuan P.Pinang Sekarang Hasil Usaha BN - Tajuddin




BUTTERWORTH, 30 Julai (Bernama) --Segala pembangunan dan kemajuan di Pulau Pinang hari ini adalah hasil usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) semasa memerintah negeri ini, sebelum DAP mengambil alih pemerintahan lebih kurang sembilan tahun lepas, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

"Pulau Pinang hari ini adalah apa yang telah dilakukan oleh kerajaan BN dalam beberapa tahun lepas. Kerajaan DAP kini menghampiri hujung penggal kedua. Apa yang dia (DAP) buat? melainkan (mengungkapkan) retorik, janji-janji manis dan propaganda perkauman,"

Bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Batu Kawan, di sini hari ini, Tajuddin turut menegaskan bahawa tiada sesiapa yang boleh menafikan kenyataan bahawa pembangunan di negeri ini dibawa oleh BN kerana DAP hingga ke hari ini masih gagal menunaikan banyak janji mereka.

"Kerajaan BN yang ditunjangi UMNO adalah kerajaan yang adil kepada semua kaum - Melayu, Cina, India dan apa bangsa (kaum) sekalipun di Malaysia," katanya.

Sehubungan itu katanya, jentera UMNO negeri digesa untuk bekerja dengan lebih keras dan proaktif dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang jika mahu melihat parti itu kembali berkuasa di Pulau Pinang.

-- BERNAMA