Bersatu, Amalkan Budaya Positif Untuk Hadapi PRU-14




BANGI, 30 Julai. (Bernama) --Anggota UMNO perlu bersatu, elakkan pecah-belah selain mengamalkan budaya yang positif bagi mengukuhkan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata, selain itu anggota UMNO yang tua dan muda perlu melakukan asimilasi dalam gerak kerja bagi meningkatkan sokongan kepada parti.

"Penyatuan di antara ahli yang tua dan muda dalam UMNO dapat membina kekuatan. Selain itu budaya positif yang perlu diutamakan ialah tidak mengambil tindakan terburu-buru dan memeriksa kesahihan sebarang maklumat yang diterima terlebih dulu," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Serdang di sini hari ini.



Mahdzir berkata, anggota UMNO perlu berpegang teguh kepada setiap keputusan yang dicapai secara muafakat di peringkat bahagian dan tidak sesekali mengingkarinya.

Kata beliau, perjuangan UMNO dalam memperjuangkan agama Islam, Raja-raja Melayu dan Bahasa Melayu adalah jelas dan tidak pernah berubah sejak sebelum merdeka.

Dalam ucapannya, Mahdzir turut mengimbau kenangan lebih 30 tahun dulu ketika beliau menjadi pemimpin pelajar di Universiti Sains Malaysia dan berpeluang bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Waktu itu Dr Mahathir mengingatkan saya, satu hari nanti bila sudah jadi pemimpin jangan bersekongkol dengan Lim Kit Siang," kata beliau.

Mahdzir berkata beliau masih ingat dan memegang kata-kata Tun Dr Mahathir itu sehingga ke hari ini tetapi kini Dr Mahathir pula rapat dengan Lim Kit Siang.

-- BERNAMA