MCA Yakin Pengundi Cina Akan Sokong Kerajaan - Liow
KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) --MCA yakin pengundi Cina akan kembali dan menyokong kerajaan pimpinan Barisan Nasional, kata presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Liow, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata kerajaan pada hari ini merupakan kerajaan berorientasikan tindakan, dan telah melaksanakan pelbagai projek, termasuk sistem Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang yang dilancarkan baru-baru.
"Menerusi kerajaan semasa, banyak agenda kita telah lakukan yang menepati aspirasi rakyat dan negara. Kami melaksanakan MRT dan banyak lagi projek di negara kita.
"MRT adalah satu daripada kunci kejayaan kepada kerajaan kita, di mana kita dapat tunjukkan kepada rakyat, kami sememangnya berazam dan kami melaksanakannya untuk rakyat. Kami adalah kerajaan yang bertindak, pembangkang hanya bercakap tetapi tidak pernah melakukan (apa yang mereka perkatakan)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM) ke-45 di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas dakwaan oleh Pakatan Harapan, bahawa pengundi Cina masih memihak kepada pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum ke-14 akan datang.
Liow berkata sebagai sebahagian daripada kerajaan pimpinan BN, MCA akan terus berusaha dan melaksanakan segala perancangan kepada rakyat, terutamanya komuniti Cina, untuk mendapatkan sokongan dan keyakinan mereka terhadap kerajaan.
"Kita dapati pengundi Cina telah mula berbalik pada sokongan kepada kerajaan, ia akan datang, tetapi kita perlu buktikan dan laksanakan," katanya.
Mengenai strategi MCA untuk menarik pengundi muda dalam pilihan raya umum akan datang, Liow berkata MCA akan mengadakan lebih banyak program dengan pembabitan belia, misalnya kem latihan.
"Kepada belia, adalah penting untuk kita mendengar pandangan mereka dan membantu untuk menjayakan cita-cita mereka. Memang mereka bersemangat untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara kita, jadi kita perlu bantu mereka. Sebagai sebuah parti, kami sentiasa bersedia untuk membantu golongan muda dan belia untuk kita maju bersama-sama," katanya.
-- BERNAMA