BN Boleh Menang Di Selangor - Salleh
TANJONG KARANG, 30 Julai (Bernama) --Barisan Nasional (BN) Selangor dilihat mampu merampas kembali Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) hasil pendekatannya meraih sokongan pengundi.
Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak berkata berdasarkan pemerhatiannya, BN Selangor hanya memerlukan sembilan peratus gelombang perubahan pengundi untuk merampas semula negeri ini.
"Saya lihat kita sudah mempunyai wajah kemenangan di negeri ini. Apa yang penting, kita jangan ada rasa was-was dalam perjuangan, kena bersatu, yakin dan setia pada ketua. Bila ada semangat ini tiada sebab kenapa kita tidak boleh raih kemenangan (dalam PRU)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Tanjong Karang di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar yang juga Ketua Bahagian UMNO Tanjong Karang.
Salleh, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata BN Selangor perlu bijak menyelesaikan isu berbangkit di negeri ini termasuk membabitkan masalah cukai tanah dan pintu, kutipan sampah dan kebersihan untuk terus mendapat sokongan rakyat.
"Kita bentuk kerajaan bukan kerana gila kuasa tetapi tanggungjawab untuk memperjuangkan nasib rakyat, kita lihat hari ini tiada perubahan yang dibuat oleh pembangkang (di Selangor) yang boleh rakyat banggakan.
"Pembangunan di Selangor sebelum ini pun bermula daripada titik peluh BN sejak dulu lagi," katanya.
-- BERNAMA