Parti Bersama Malaysia Guna Platform Politik, NGO
GEORGE TOWN, 30 Julai (Bernama) --Parti Bersama Malaysia, yang ditubuhkan pada Disember tahun lepas, akan menggunakan platform politik namun bergerak seperti badan bukan kerajaan (NGO) sebagai wadah berkhidmat kepada rakyat.
Presidennya Tan Gin Theam berkata parti berkenaan yang juga dikenali sebagai MU turut memainkan peranan sebagai penyemak dan pengimbang kepada parti kerajaan serta pakatan pembangkang.
Beliau berkata MU lebih fokus untuk memerhati, menganalisis dan menyuarakan pandangan bebas mengenai perkara yang dilakukan parti-parti politik dominan di negara ini.
"Penubuhan MU bercorak seperti NGO di mana kita akan bina jaringan sosial yang erat antara NGO dan agensi-agensi kerajaan melalui kerja sukarelawan dan kebajikan.
"Misi MU adalah untuk menyediakan satu platform untuk tujuan integrasi dan perkongsian sumber antara semua rakyat... demi rakyat untuk rakyat," katanya pada sidang akhbar pada majlis pelancaran parti itu di sini, malam ini.
Tan berkata penubuhan MU diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 2 Dis tahun lepas dan kini mempunyai lebih 10,000 keanggotaan.
Namun, MU belum berhasrat bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
"Bagaimanapun, jika ada yang mahu kami bertanding, kami akan pertimbangkan nanti," katanya.
-- BERNAMA