Rakyat Harus Mensyukuri Keamanan, Pembangunan Dibawa Kerajaan BN - Musa
PAPAR, 31 Julai (Bernama) -- Rakyat, khususnya di Sabah, harus mensyukuri keamanan dan pembangunan yang dibawa kerajaan Barisan Nasional selama ini yang masyarakat menikmati kehidupan lebih selesa menerusi kemajuan ekonomi, pendididkan dan kestabilan politik, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
Katanya rakyat juga harus bersyukur dan menghargai serta memelihara nikmat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.
"Janganlah kita terpedaya dan terpengaruh dengan tindakan pihak tertentu yang cuba menggugatnya (perpaduan dan keharmonian) dengan pelbagai hasutan dan tohmahan," katanya pada pelancaran Pesta Kaamatan Papar di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya Tan Sri Jospeh Pairin Kitingan.
Musa berkata kerajaan turut bersyukur kerana diberi peluang dan mandat untuk membantu dan membawa pembangunan kepada rakyat.
Oleh itu, kerajaan sentiasa mencari peluang dan kesempatan untuk mendekati dan berjumpa rakyat menerusi amalan turun padang selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendekati dan merasai 'denyutan nadi' rakyat, katanya.
"Inilah budaya kerja para pemimpin kerajaan kita yang sentiasa bekerja dan berkhidmat untuk rakyat," katanya.
-- BERNAMA