Bekas Pemimpin UMNO Dalang Mahu Jatuhkan PM - Ahmad Zahid
JERLUN, 4 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendedahkan seorang bekas pemimpin UMNO yang sebenarnya adalah dalang disebalik usaha untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya beliau mempunyai cukup bukti dalam bentuk rakaman bahawa bekas pemimpin itulah yang mencadangkan agar Najib dijatuhkan sebagai perdana menteri melalui undi tidak percaya di Parlimen pada masa itu.
"Perbualan ketika perjumpaan dengan bekas pemimpin itu ada dirakam dan rakaman itu juga masih ada pada saya.
"Ketika itu, saya baru 10 hari dilantik menjadi timbalan perdana menteri, jadi macam mana secara logiknya saya mahu jatuhkan (Najib) kalau baru 10 hari pegang jawatan itu," katanya semasa berucap pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Jerlun di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, di sini, hari ini.
Baru-baru ini bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Ahmad Zahid telah bertemu dengannya dan meminta sokongan daripadanya untuk menggantikan Najib sebagai perdana menteri.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata bekas pemimpin itu perlu bercakap benar apa sebenarnya yang berlaku ketika itu.
"Saya bukan mahu membalas dendam tetapi saya mahu ahli UMNO dan rakyat tahu yang berbohong itu adalah dia (bekas pemimpin UMNO berkenaan).
"Dia yang mahu jatuhkan (Najib) sebenarnya. Saya bukan jenis orang yang gigit tangan orang yang bagi saya makan dan saya juga tidak ambil kesempatan untuk diri sendiri (bagi mendapatkan sesuatu)," katanya.
Ahmad Zahid menyifatkan dirinya dijadikan sebagai "jerat" dan sudah tentu sama sekali tidak akan melupakan perkara tersebut.
Beliau berkata perkara itu tidak didedahkan kepada umum kerana pemimpin berkenaan pada masa itu masih lagi di dalam UMNO.
Mendedahkan lebih lanjut tentang perkara itu, Ahmad Zahid berkata jika undi tidak percaya itu tidak dapat dilaksanakan, opsyen kedua "pakatan itu" adalah untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memecat Najib sebagai perdana menteri.
Timbalan perdana menteri turut menzahirkan rasa hairannya kenapa perkara itu ditimbulkan oleh bekas pemimpin berkenaan selepas dua tahun daripada tempoh pertemuan yang diadakan itu.
"Tiba-tiba orang itu cakap saya yang rancang untuk jatuhkan perdana menteri dan sebab itu saya meminta dia jangan bercakap bohong," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengingatkan rakyat supaya jangan membenarkan pihak luar mengambil kesempatan untuk merosakkan dan mengambil alih tampuk kerajaan yang sedia ada.
"Saya yakin rakyat akan tetap bersama kita (UMNO dan Barisan Nasional (BN)tetapi mereka perlu pastikan jangan benarkan orang ambil peluang untuk rosak dan ambil alih kerajaan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid selaku naib presiden yang menjalankan tugas timbalan presiden UMNO yakin kawasan Parlimen Jerlun akan terus dikuasai UMNO berdasarkan kepada perpaduan erat dalam kalangan anggota dan pemimpinnya.
Beliau turut berjanji untuk tidak meletakkan calon 'payung terjun' di kawasan Parlimen Jerlun pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.
Turut hadir pada persidangan itu ialah Pemangku Ketua UMNO Bahagian Jerlun Datuk Abu Hassan Sharif, Naib Ketuanya Datuk Othman Aziz dan Ketua Wanitanya Datuk Maznah Hamid.
-- BERNAMA