UMNO, BN Kota Belud Sokong Penuh Kepimpinan Najib





KOTA BELUD, 5 Ogos (Bernama) -- UMNO dan Barisan Nasional (BN) Kota Belud akan terus menyokong dengan sepenuh hati kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus menerajui pentadbiran negara dan parti, dalam senang mahupun susah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak selaku Ketua UMNO Bahagian Kota Belud berkata pihaknya juga akan tetap teguh mendukung kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di peringkat negeri.

Salleh menyatakan pendirian itu ketika menzahirkan sokongan padu tidak berbelah-bahagi UMNO dan BN Kota Belud kepada Najib dan Musa demi kestabilan politik sekali gus memastikan perjuangan parti untuk membela rakyat dapat diteruskan.




"Kita (anggota parti) perlu sentiasa berpegang kepada prinsip kesetiaan kepada pemimpin tidak kiralah ketika susah ataupun senang. Kita juga harus sentiasa bersama-sama bekerja keras untuk memastikan Sabah akan terus tetap bersama UMNO dan BN sebagai simpanan tetap parti," katanya.

Salleh yang juga bendahari UMNO Pusat berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Belud, yang disempurnakan Musa selaku pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin yang juga setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Hajiji Noor selaku bendahari UMNO negeri.

Salleh berkata, perpaduan dalam kalangan pemimpin dan anggota UMNO Bahagian Kota Belud terus kukuh selain mereka sentiasa mengamalkan prinsip bekerjasama dalam memastikan kemenangan berpihak kepada parti pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

Menurutnya, keanggotaan UMNO Bahagian Kota Belud semakin bertambah daripada hanya 29,000 pada 2016 kepada lebih 30,000 orang pada tahun ini, sekali gus membuktikan bahawa UMNO tetap menjadi parti pilihan penduduk di daerah itu.

Dalam pada itu, Salleh berkata, rakyat khususnya di Sabah tidak perlu berasa ragu-ragu untuk memberi sokongan penuh kepada UMNO dan BN kerana parti itu jelas mempunyai keupayaan dalam membasmi kemiskinan dan membawa pembangunan mampan demi kesejahteraan rakyat di negeri ini.

"Kadar kemiskinan di Sabah semakin menunjukkan penurunan dari tahun ke tahun. Pada 2009, kadar kemiskinan di Sabah adalah 19.7 peratus; pada 2012 (8.1 peratus); pada 2014 (4.0 peratus) dan kadar itu semakin menurun kepada 3.4 peratus pada tahun lepas," katanya.

Sehubungan itu, Salleh mengajak semua rakyat di negeri ini untuk bersama-sama memberi sokongan padu kepada kerajaan sedia ada supaya perjuangan membawa perubahan dan membasmi kemiskinan dapat diteruskan.

-- BERNAMA