UMNO Johor Sedia Lawan Pemimpin Negeri Yang Lompat Parti
JOHOR BAHRU, 5 Ogos (Bernama) -- UMNO Johor bersedia untuk bersemuka dan melawan habis-habisan pemimpin dari negeri itu yang melompat ke parti lain, kata Pengerusinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini.
Beliau berkata kesediaan itu bukan kerana mereka tidak mengenang jasa atau menyukai permusuhan, tetapi kerana mereka percaya bahawa UMNO adalah gerakan tajdid (pembaharuan) untuk bangsa Melayu.
Selain itu, katanya UMNO dilihat sebagai gerakan amal dan bakti, gerakan pencerahan dan penghubung paling telus antara Johor dengan mereka para pendiri bangsa yang telah pergi.
"Sepanjang kewujudannya, UMNO adalah pemecah kebuntuan orang Melayu. UMNO adalah penghapus kedaifan orang Melayu. UMNO adalah pelebur kekusutan orang Melayu.
"Bertitik tolak daripada kepercayaan dan pegangan inilah, kami juga sangat bertanggungjawab untuk memaparkan rencana dan impian kami untuk bangsa Melayu. Ini termasuklah, mempersembahkan kepada orang Melayu, sosok yang bagaimanakah yang kami rasa boleh memimpin bangsa Melayu pada hari muka," katanya.
Beliau menekankan sedemikian ketika berucap pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang yang disempurnakan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin di sini, hari ini.
Menurut Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor, UMNO Johor tidak pernah mengamalkan budaya ikut-ikutan dan sorak-menyorak apatah lagi ampu-mengampu.
Kata beliau UMNO Johor juga sangat menyayangi parti, dan kasih ini bukan kerana terpaksa atau kerana tidak mempunyai pilihan tetapi atas keyakinan pada sebuah perjuangan yang benar.
"Sebab itulah kami tidak terikut dengan pemimpin dari negeri kami yang melompat ke gelanggang lain.
"Kami sangat insaf, perjuangan dalam UMNO ini bukan tentang prestij, bukan tentang pingat dan pangkat. UMNO bukan tentang jawatan dan bukan juga halnya tentang gelaran, martabat dan upacara.
"Tetapi perjuangan ini adalah khidmat pada watan, khidmat pada bangsa, khidmat pada agama dan negara," katanya.
--BERNAMA