Jangan Tinggal UMNO Jika Tidak Dipilih Sebagai Calon




KUALA SELANGOR, 5 Ogos (Bernama) -- Anggota UMNO diberitahu untuk tidak meninggalkan parti jika mereka tidak dipilih oleh pucuk pimpinan tertinggi sebagai calon pada pilihan raya umum ke-14, kata anggota majlis tertinggi UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata adalah mustahil untuk menawarkan kepada semua ahli untuk menjadi calon kerana hanya yang terbaik dalam parti akan dipilih.

"Dalam politik, kita tidak menawarkan kepada semua orang untuk menjadi calon. Hanya mereka yang dipilih sebagai yang terbaik oleh parti kita meletakkan sebagai calon.

"Kita perlu bekerjasama dengan semua parti komponen Barisan Nasional untuk memastikan kestabilan politik di negara ini supaya rakyat Malaysia boleh hidup dalam suasana harmoni," kata Johari kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kuala Selangor di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor Datuk Ishak Harun dan anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Irmohizam Ibrahim, yang juga anggota majlis tertinggi UMNO.

Johari, yang juga Menteri Kewangan Kedua mengingatkan anggota UMNO di semua peringkat supaya terus berjuang dalam parti dengan sepenuh hati walaupun jika mereka tidak dipilih sebagai calon.

-- BERNAMA