UMNO Perlu Dekati Pengundi Baharu, Pengundi Atas Pagar - Salleh Keruak
KLANG, 6 Ogos (Bernama) -- UMNO perlu memperhebat usaha mendekati dua kumpulan pengundi yang digolongkan sebagai 'pengundi baharu' dan 'pengundi atas pagar' bagi memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Bendahari Agung UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata usaha untuk mendekati pengundi yang mengundi buat kali pertama pada PRU14 dengan memberi gambaran sebenar mengenai kerajaan BN penting bagi memastikan mereka bersama-sama kerajaan untuk membawa kemajuan di negara ini.
"Ini perlu bagi mengelak mereka (pengundi baharu) mendapat gambaran salah daripada pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan fitnah serta tohmahan mengenai UMNO dan BN.
"Ada ramai 'pengundi kali pertama' dalam masa empat tahun ini dan mereka mungkin terdiri daripada kawan ataupun jiran kita. Sekiranya mereka memahami perjuangan kita, mereka akan tetap bersama kita," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kapar di sini, hari ini.
Salleh, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata kumpulan kedua yang perlu didekati UMNO adalah pengundi atas pagar yang pernah bersama BN ketika dahulu, namun kini terkeliru dengan tohmahan dan dakyah yang dibawa pembangkang.
Beliau yakin pengundi atas pagar ini akan kembali bersama kerajaan BN dan UMNO sekiranya jentera parti turun padang menerangkan kepada pengundi segala kepincangan yang dilakukan pihak pembangkang.
Dalam pada itu, Sallleh menasihatkan semua jentera serta parti komponen BN berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi bagi menghadapi PRU14.
"Perkara paling penting adalah jentera mesti sampai ke peringkat akar umbi untuk menerangkan dasar parti," katanya.
Salleh turut mengingatkan pemimpin UMNO supaya menghindari daripada bersikap sombong, berlagak dan kedekut sekiranya mahu kekal memerintah dan terus berkhidmat membela nasib rakyat.
Katanya jika tiga sikap berkenaan ada dalam diri pemimpin UMNO, ia dikhuatiri akan membangkitkan rasa marah rakyat.
Dalam perkembangan lain, Salleh berkata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menolak cadangan pembangunan yang dikemukakan syarikat yang dikaitkan dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika beliau (Salleh) menjadi ketua menteri Sabah dahulu.
Katanya, syarikat berkenaan yang ketika itu dipengerusikan Ahmad Zahid telah membuat cadangan pembangunan di Kota Kinabalu dan permohonan mengenainya dirujuk kepada Dr Mahathir selaku perdana menteri.
"Dulu ketika menjadi ketua menteri Sabah, saya ingat syarikat ini membuat perancangan untuk membangunkan satu kawasan di Kota Kinabalu.
"Namun, waktu saya jumpa perdana menteri ketika itu (Dr Mahathir) dia nampak nama Zahid, terus 'cancel' (batalkan) sedangkan kita kena tengok perancangan itu baik atau tidak," katanya.
Dr Mahathir, yang kini pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), baru-baru ini mendakwa Ahmad Zahid pernah menemui beliau dalam cubaan menjatuhkan Najib dua tahun lalu.
Namun Ahmad Zahid yang merupakan timbalan perdana menteri dan naib presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden parti, berkata beliau mempunyai bukti rakaman pertemuan berkenaan bagi menangkis tuduhan itu.
-- BERNAMA