Anggota UMNO Perlu Bersatu Hati Demi Kelangsungan Nasib Melayu - Osman Aroff
KUBANG PASU, 8 Ogos (Bernama) -- Bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Osman Aroff hari ini menggesa kesemua anggota UMNO supaya bersatu hati dan berdiri teguh di belakang kepimpinan parti bagi mengukuhkan perpaduan orang Melayu sekali gus memastikan keistimewaan golongan itu terus terjamin.
Beliau berkata pada masa ini orang Melayu dilihat semakin berpecah-belah berikutan ramai terpengaruh dengan maklumat politik pembangkang yang tidak sahih menerusi media sosial terutamanya dalam Facebook dan Whatsapp.
"Di kampung pun ramai terpengaruh dengan hasutan yang dibawa (pembangkang) melalui media sosial yang kebanyakan tidak betul dan semata-mata menimbulkan kebencian. Apabila orang Melayu berpecah, kita akan semakin lemah dan orang lain akan dapat faedah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Jom Makan Durian di Kampung Lahar, Malau di Jitra dekat sini hari ini yang turut dihadiri anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra Datuk Aminuddin Omar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan serta Pembangunan Insan negeri.
Sehubungan itu, Osman meminta anggota UMNO jangan mudah terpengaruh dengan hasutan berkenaan dan terus berpegang teguh kepada parti kerana ia hanya sekadar tuduhan untuk memburukkan parti keramat itu.
Beliau berkata anggota UMNO tidak sepatutnya mudah berkecil hati sehingga sanggup meninggalkan parti yang banyak berjasa kepada rakyat dan pembangunan negara ini sekalipun timbul ketidakpuasan hati terhadap parti berhubung sesuatu perkara demi agama serta bangsa.
"Banyak saya kecewa dalam parti tetapi tidak lah niat hendak tinggalkan parti dan melupakan UMNO sampai hari ini kerana dengan UMNO kita hidup selesa, (ada) rumah besar, kereta besar dan banyak gunakan motosikal dan tak ada dah (guna) gerek (basikal) macam dulu-dulu. Ini kita patut syukur dan bangga atas kejayaan yang dikecapi ini.
Orang tuduh (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak) ini macam-macam, tetapi sampai la (sekarang) tak dak siapa buktikan, sedangkan banyak dasar kerajaan memberi faedah kepada orang Melayu yang sering dilupakan," katanya.
Osman turut menyifatkan kemenangan UMNO menerusi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti amat penting dalam menentukan untung nasib orang Melayu antaranya dari segi mengekalkan pengaruh kuasa dalam pentadbiran kerajaan.
"Kalau kita hilang kuasa, sukar untuk kita kembalikan dan orang Melayu akan terus ketinggalan dalam aspek ekonomi kerana perbuatan kita sendiri yang tidak memberi sokongan dan kepercayaan kepada UMNO," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa kekecewaan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sanggup bersama pembangkang menentang UMNO.
Osman berkata tindakan itu tidak sepatutnya berlaku kerana Dr Mahathir yang juga bekas Presiden UMNO akan mewujudkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu sendiri yang akhirnya merugikan bangsanya sendiri.
"Saya sanjung jasa dibuat (Dr Mahathir) selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri dan berjuang bersama UMNO di negara ini, tetapi kejayaan beliau membangunkan negara dan kampung-kampung itu atas sokongan kita juga kerana kita di bawah ini yang tentukan siapa nak jadi pemimpin dan kita sokong.
"Tapi yang sedihnya Tun dah berpisah dengan UMNO, jadi tak patut jadi lagu ini kerana masa dia jadi pemimpin UMNO bahagian ini (Kubang Pasu), dia selalu kata apa pun terjadi kita mesti sokong dan jangan tinggalkan UMNO kerana UMNO yang beri jaminan untuk bangsa kita (Melayu) dan hari ini dia kata macam-macam," katanya.
-- BERNAMA