Shahidan Cabar DAP Jelaskan Pelaksanaan Demokrasinya Jika Menang PRU




KULIM, 13 Ogos (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini mencabar DAP agar menjelaskan pelaksanaan dasar demokrasinya jika pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana katanya dalam kalangan pembangkang, DAP mempunyai majoriti dengan 38 kerusi parlimen manakala Parti Keadilan Rakyat (26) , Parti Amanah Negara (7) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia hanya satu kerusi.

"Sekarang DAP adalah majoriti dan saya minta DAP jangan takut untuk bersuara bagaimana mereka mahu mengamalkan dasar demokrasi ke atas parti lain sekiranya menang majoriti kerusi dalam pilihan raya umum (PRU) nanti," katanya kepada media selepas merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kulim-Bandar Baharu, di sin, hari ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu berkata bagaimanapun amat mustahil untuk pembangkang meraih kemenangan majoriti pada PRU kali ini kerana mereka memerlukan 112 kerusi untuk membentuk kerajaan.

"Nak menang macam mana sedangkan sekarang DAP hanya ada 38 kerusi. Habis banyak adalah empat atau lima kerusi sahaja yang mereka boleh menang nanti," katanya.

Shahidan juga menegaskan hanya UMNO yang mampu memberikan keadilan kepada penduduk di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Dalam pada itu, Shahidan turut menggesa agar anggota UMNO tidak berdiam diri apabila diserang oleh pembangkang yang sebenarnya hanya mencari kesalahan daripada pelbagai inisiatif kepada rakyat yang disediakan Barisan Nasional.

"Kerajaan dah sediakan lebih 100 bentuk inisiatif kepada rakyat termasuk LRT, kedai dan klinik 1Malaysia, (Lebuhraya) Pan Borneo dan yang terbaharu, MRT yang mampu mengurangkan kesesakan jalan raya antara Sungai Buluh dan Kajang.

"Tapi pembangkang berani mencanang kepada rakyat mengenai keburukan kerajaan. Ini kerana kita banyak mendiamkan diri dan saya gesa, kita bangkit membalas tohmahan mereka dengan lebih berani," katanya.

-- BERNAMA