MIC Tumpu Kerusi Yang Ditandinginya Pada PRU14




SEREMBAN, 13 Ogos (Bernama) -- MIC kini dalam fasa terakhir persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan menumpukan perhatian kepada kerusi-kerusi yang akan ditandinginya.

Timbalan Presiden MIC Kebangsaan Senator Datuk Sri S.K. Devamany berkata untuk itu, parti telah mengerakkan persiapan di sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi calon MIC.

"Antara tindakan yang diambil ialah mengenal pasti pengundi dan juga mengerakkan pusat daerah mengundi serta lokaliti kepimpinan di peringkat akar umbi. Saya telah diamanahkan oleh parti (MIC) untuk menjaga 'war room' dan mempastikan persiapan ini berjalan lancar," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Pesta Sukan Rakyat dan sambutan Bulan Merdeka 2017 di Taman Thivy Jaya di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan MIC Kebangsaan Datuk V.S. Mogan.

Devamany yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata persiapan jentera parti kali ini lebih rapi memandangkan pilihan raya ini lebih mencabar.

Katanya dalam masa yang sama, parti juga memberi tumpuan kepada kerusi-kerusi yang akan ditandingi calon parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain seperti UMNO, MCA, Gerakan, PPP dan yang lain-lain.

"Dalam konteks ini, kita (MIC) membantu memperkasakan undi BN. Kita bekerjsama erat dengan BN Pusat dan bilik gerakan pilihan raya BN Pusat. Kalau PRU12 dan PRU13 tidak berapa terserlah, tapi pada PRU14 kali ini kerjasama di antara kita cukup mendalam bagi mempastikan mencapai matlamat kemenangan BN dengan cemerlang.

"Malah kita bekerjasama rapat dengan rakan BN yang lain seperti Makkal Sakti dan yang lain-lain....semuanya bekerjasama kerana mewakili kaum India. Kita nampak ada sokongan 65 ke 70 peratus daripada masyarakat India terhadap BN. Ini adalah suatu yang memberangsangkan.

"Antara sebab peningkatan sokongan ini adalah kerana gerakan kita sendiri dan juga pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang melancarkan pelan tindakan pembangunan masyarakat India pada 23 April lepas. Pelan tersebut adalah rangka tindakan 10 tahun yang merupakan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kedudukan masyarakat India," katanya.

Katanya tidak pernah ada seorang Perdana Menteri yang pernah memperkasakan masyarakat India sehebat Najib.

Katanya MIC menyokong penuh kepimpinan Najib untuk menerajui negara ini.

-- BERNAMA