DAP 'Double Standard' Dalam Isu Exconya Ditahan SPRM - Mahdzir
NIBONG TEBAL, 13 Ogos (Bernama) -- DAP sepatutnya memberi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan secara terperinci berhubung kes yang membawa kepada penahanan seorang anggota exco kerajaan Pulau Pinang Jumaat lepas sebelum menuduh agensi itu tidak adil, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Beliau turut menyifatkan tindakan DAP yang menyalahkan SPRM dan mempertahankan exco yang memegang portfolio penting dalam kerajaan negeri pimpinan parti itu sebagai dwistandard.
"Tindakan SPRM menahan dan mengambil tindakan terhadap exco itu pasti bersebab tetapi ada pemimpin DAP yang kata itu tidak adil dan apa salah exconya sampai kena tahan dengan SPRM tetapi apabila kena pada orang lain terutama kita (pemimpin UMNO) mereka dengan lantang bersuara.
"Malah menyuruh (SPRM) ambil tindakan tegas dan memang nampak dengan jelas DAP mengamalkan 'double standard'. Mereka (DAP) sepatutnya biar SPRM jalankan siasatan dan kemukakan hujah dulu...ini reman (exco) itu belum habis dah DAP kata ini tidak adil serta sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Nibong Tebal, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang yang juga Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal Datuk Seri Zainal Abidin Osman.
Semalam, SPRM memperoleh perintah reman terhadap exco kerajaan negeri itu dan lelaki dua beranak bagi membantu siasatan berhubung kes sebuah kilang beroperasi secara haram di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam sejak 10 tahun lepas.
Sementara itu, Zainal Abidin menggesa anggota exco berkenaan meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri jika beliau didakwa di mahkamah kelak.
"Ketua Menteri Lim Guan Eng jangan mendahului siasatan SPRM, biar mereka siasat dulu dan sepatutnya jika exco tersebut didakwa beliau patut letak jawatan. Lim juga perlu letak jawatan kerana dia telah didakwa sebaliknya terus kekal (jawatan) dan itu tidak selari langsung dengan undang-undang serta adat resam," katanya.
Beliau turut meminta supaya Lim berhenti menyalahkan kerajaan negeri terdahulu iaitu Barisan Nasional (BN) dan sepatutnya DAP yang telah diberi mandat oleh rakyat di negeri itu mentadbir Pulau Pinang mengikut acuan mereka.
"Lim kata kilang haram itu dibina sebelum 2008 iaitu ketika BN memerintah, itulah kerja ketua menteri kalau apa sahaja salah semua BN yang salah dan kalau dia hendak salahkan BN biar kita jadi kerajaan negeri, sepatutnya beliau boleh ambil tindakan kerana kuasa mutlak pada dia sebagai ketua menteri," katanya.
-- BERNAMA