SPRM Serbu Rumah, Pusat Khidmat Adun DAP Yang Ditahan SPRM




BUTTERWORTH, 13 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerbu dua buah rumah dan juga pejabat anggota exco kerajaan negeri Pulau Pinang yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes sebuah kilang beroperasi secara haram di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam dekat sini sejak 10 tahun lepas.

Sumber berkata serbuan bermula di rumah anggota exco itu di Taman Dahlia sebelum ke rumahnya di Sungai Puyu yang telah diserbu pada Jumaat lepas dan disudahi dengan serbuan di pusat khidmatnya di Jalan Ong Yi How, Raja Uda di sini.

"Kami turut membawa bersama exco berkenaan. Serbuan itu dilakukan bermula 11 pagi dan berakhir kira-kira enam jam kemudian," katanya di sini hari ini.

Katanya serbuan di tiga lokasi itu bertujuan mendapatkan beberapa lagi dokumen dan bukti bagi membantu siasatan kes kilang memproses serbuk kayu berkenaan.

Beliau juga berkata setakat ini tiga pegawai Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah dipanggil untuk memberi keterangan dan tiada tangkapan atau rampasan baharu dilakukan oleh SPRM.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi, mengesahkan perkara tersebut serta tidak menolak kemungkinan akan memanggil Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Anggota Dewan Undangan (ADUN) Penanti Dr Norlela Ariffin untuk direkodkan keterangan.

"Beri ruang kepada SPRM untuk jalankan siasatan secara menyeluruh kes ini. Ya... kalau ada keperluan kami akan panggil ketua menteri dan ADUN yang bangkitkan kes tersebut," katanya.

Semalam, SPRM memperoleh perintah reman terhadap seorang exco yang memegang portfolio penting dalam kerajaan negeri dan lelaki dua beranak bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Khamis lepas, SPRM menjalankan operasi terhadap sebuah kilang haram memproses serbuk kayu yang dipercayai mencemarkan alam sekitar di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam dan SPRM turut mengambil beberapa dokumen dari pejabat MPSP di Bandar Perda bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurut sumber dokumen itu diambil bagi membantu siasatan kes kilang berkenaan yang dikatakan beroperasi sejak 10 tahun lepas tanpa permit di atas tanah berstatus tanah pertanian.

Isu berhubung kilang haram itu pernah dibangkitkan Norlela pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang mendakwa banyak kilang haram dibiar beroperasi di Penanti tanpa tindakan lanjut oleh kerajaan negeri.

-- BERNAMA