Kerajaan DAP P.Pinang Tidak Tukar Dasar Tangguh Tindakan Terhadap Bangunan Haram




GEORGE TOWN, 13 Ogos (Bernama) -- Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak berhasrat untuk menukar dasar lama iaitu menangguhkan tindakan penguatkuasaan terhadap bangunan, rumah ibadat dan penjaja yang beroperasi secara haram di negeri ini sebelum 2008.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata beliau akan mengsyorkan dasar ini dikekalkan dalam mesyuarat mingguan exco negeri pada Rabu ini.

"Memang menjadi dasar kerajaan negeri Pakatan Harapan sejak ditubuhkan pada 2008 untuk tidak mengambil tindakan kepada semua bangunan, kilang atau penjaja haram yang beroperasi sebelum 8 Mac 2008 dengan syarat ia tidak menghalang laluan trafik atau pun mengganggu orang awam.

"Sebaliknya, kerajaan negeri akan cuba cari penyelesaian untuk semua pihak termasuk program pemutihan," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Berikutan amalan dasar itu, Lim berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang exco kanan kerajaan negeri kerana didakwa menulis dua pucuk surat yang meminta tindakan penguatkuasaan ditangguhkan terhadap sebuah kilang beroperasi secara haram di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam sehingga satu penyelesaian yang baik kepada semua pihak boleh dicapai.

"Sekiranya beliau menjalankan tugas sebagai ADUN (Anggota Dewan Undangan Negeri) atau ahli exco untuk berkhidmat kepada rakyat, meminta tindakan ditangguhkan maka semua wakil rakyat baik pembangkang atau pun kerajaan, bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi juga di Malaysia, yang meminta tindakan penguatkuasaan ditangguh boleh terjerat dalam rasuah.

"Kerajaan negeri tidak pasti adakah ini prosedur operasi standard (SOP) yang baharu oleh SPRM yang boleh menolak sama sekali kuasa kerajaan negeri untuk menetapkan sesuatu dasar tentang bangunan dan penjaja haram. Kami akan menunggu pencerahan oleh SPRM dalam kes exco ini," katanya.

Semalam, SPRM memperoleh perintah reman terhadap exco kerajaan negeri itu dan lelaki dua beranak bagi membantu siasatan berhubung kes sebuah kilang beroperasi secara haram di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam sejak 10 tahun lepas.

Khamis lepas, SPRM menjalankan operasi terhadap sebuah kilang haram memproses serbuk kayu yang dipercayai mencemarkan alam sekitar di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam dan SPRM turut mengambil beberapa dokumen dari pejabat MPSP di Bandar Perda bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurut sumber, kilang itu dikatakan telah beroperasi sejak 10 tahun lepas tanpa permit di atas tapak berstatus tanah pertanian.

Isu berhubung kilang haram itu pernah dibangkitkan ADUN Penanti dari PKR Dr Norlela Ariffin pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang mendakwa banyak kilang haram dibiar beroperasi di Penanti tanpa tindakan lanjut oleh kerajaan negeri.

-- BERNAMA