Makmal Percambahan Idea Belia TN50 Bincang Tujuh Rumusan Aspirasi Belia
KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Makmal Percambahan Idea Belia TN50 hari ini selesai membincangkan tujuh rumusan daripada 60,000 aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) golongan belia di negara ini.
Makmal berkenaan yang merupakan bengkel melibatkan 80 belia bersama mentor mereka daripada Kumpulan Masa Depan TN50 diadakan selama dua hari bermula semalam.
Perbincangan bengkel itu meliputi langkah menjadikan bandaraya di Malaysia lebih mesra penduduk melalui perancangan dan rekaan, membina sistem pendidikan yang relevan dan kalis perubahan dan mewujudkan masyarakat yang saling menghormati serta berkesedaran sivik secara dalam talian atau secara bersemuka.
Ia turut membincangkan pembentukan Malaysia yang lebih kohesif beridentiti nasional yang mantap serta saling mempercayai, memupuk masyarakat yang berkesedaran kesihatan, mewujudkan kesedaran rakyat tentang kelestarian persekitaran serta penglibatan rakyat dalam pentadbiran negara secara konsisten dan sistematik.
Ketua TN50 merangkap Timbalan Ketua Pengarah (Modal Insan) di Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri Johan Mahmood Merican berkata perbincangan adalah bahagian penting TN50.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah memulakan keterlibatan dengan rakyat. TN50 akan digubal oleh rakyat untuk rakyat," kata beliau pada Makmal Pencambahan Idea Belia TN50 di sini hari ini.
Idea daripada makmal ini akan dikumpulkan dalam Laporan Aspirasi Belia pada akhir tahun dan akan dicadangkan kepada kerajaan dan dijangka bermula tahun depan jika didapati boleh dilaksanakan.
TN50 merupakan usaha untuk membentuk masa depan Malaysia bagi tempoh 2020 hingga 2050. Kementerian Belia dan Sukan telah diamanahkan dengan tanggungjawab untuk mengumpul belia sepanjang 2017 dalam semangat aspirasi TN50 berikutan pengumuman mengenai pelan transformasi negara oleh Najib.
-- BERNAMA