Abdul Latiff Tegaskan Tidak Bertanding PRU-14
MERSING, 18 Ogos (Bernama) -- Ketua UMNO Bahagian Mersing Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad hari ini menegaskan beliau tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Mersing yang disandangnya sejak 1999 pada pilihan raya umum ke-14.
Dr Abdul Latiff berkata pendirian itu sudah diulangi beliau sejak Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Mersing pada 2014.
"Saya membuat keputusan ini bagi memberi laluan kepada orang baharu untuk menyambung tanggungjawab yang saya galas sejak lima penggal sebagai anggota parlimen dan anggota dewan undangan negeri (ADUN).
"Kalau selama ini mereka memberikan sokongan kepada saya selaku ketua UMNO Bahagian dan anggota parlimen, maka, sudah tiba masanya mereka memberikan sokongan kepada calon baharu pula," katanya.
Abdul Latiff, 59, yang juga Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad, berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Mersing di sini hari ini.
Beliau juga memberi jaminan calon yang akan menggantikannya adalah daripada kalangan yang banyak berjasa kepada parti serta disenangi rakyat.
"Calon itu tidak semestinya popular dalam UMNO sebaliknya popular dalam kalangan masyarakat demi kemenangan Barisan Nasional," katanya.
Abdul Latiff berkhidmat sebagai ADUN Endau bagi tempoh 1995-1999 dan kemudian selaku Anggota Parlimen Mersing sejak 1999 hingga kini.
-- BERNAMA