Pemuda UMNO Diminta Tumpu Persiapan Hadapi PRU14
KOTA BHARU, 18 Ogos (Bernama) -- Semua peringkat Pergerakan Pemuda UMNO diminta memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 dengan bekerja keras bagi membantu kemenangan Barisan Nasional (BN).
Naib Ketua Pemuda UMNO Senator Khairul Azwan Harun berkata anggota pergerakan itu harus ikhlas berjuang dengan mengetepikan kepentingan peribadi dan melupakan 'unsur-unsur' yang berkaitan dengan pemilihan parti.
"Sepatutnya, sekarang ini mereka lebih fokus dalam membuat persiapan menghadapi PRU14," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu di sini, hari ini.
Beliau juga mahu anggota pergerakan itu supaya menterjemahkan komitmen dan strategi bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum itu mulai sekarang.
Mengenai calon PRU14 daripada kalangan Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan berkata perkara itu telah diutarakan kepada Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diputuskan.
"Cita-cita kita untuk melihat lebih ramai pemimpin Pemuda diketengahkan (sebagai calon) tetapi buat waktu ini, kita tidak perlu menyuarakan lagi kerana sebelum ini Ketua Pemuda (Khairy Jamaluddin) dan saya sendiri sudah menyatakan hasrat itu dan mengangkatnya kepada pucuk pimpinan parti," katanya.
Beliau yakin Najib akan membuat pertimbangan yang sewajarnya terhadap harapan pergerakan itu.
-- BERNAMA