KDNK 5.8 Peratus Bukti Pengurusan Ekonomi Dalam Landasan Betul
SERDANG, 19 Ogos (Bernama) -- Keupayaan Malaysia mencatat pertumbuhan 5.8 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua tahun ini, merupakan kejutan kepada pihak yang sering mempertikaikan keupayaan kerajaan mengurus ekonomi.
Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Othman Aziz berkata pertumbuhan luar jangka itu berbanding unjuran antara 4.3 hingga 4.8 peratus yang diletak ketika pembentangan bajet 2017 sekali gus membuktikan pengurusan ekonomi negara berada di landasan yang betul di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan.
"Prestasi KDNK ini petunjuk jelas bahawa kita tidak bermain politik sebaliknya seluruh pasukan kerja kerajaan, terutama Kementerian Kewangan sentiasa fokus dalam melaksanakan amanah demi kemajuan negara," katanya kepada pemberita semasa menghadiri Hari Keluarga Perbendaharaan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini Sabtu.
Hadir sama Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Semalam, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi negara mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2017 berbanding 4.0 peratus pada suku sama tahun lepas.
Menurut BNM, peningkatan pada suku kedua 2017 lebih baik daripada 5.6 peratus yang dicatatkan pada suku pertama 2017, dipacu oleh pertumbuhan kukuh dalam eksport kasar, sektor perkhidmatan dan pembuatan serta pelaburan swasta.
Othman berkata beliau yakin prestasi baik ekonomi negara itu mampu dikekalkan sekali gus dapat diterjemahkan dalam kandungan bajet 2018 yang akan dibentangkan pada Oktober nanti.
Mengenai sama ada kementerian itu akan menyemak semula sasaran unjuran ekoran prestasi terkini KDNK, beliau berkata ia sudah memadai jika pencapaian 5.8 peratus dikekalkan kerana catatan itu sendiri telah melepasi unjuran yang disasarkan kerajaan untuk tahun ini.
"Kita perlu realistik dengan keadaan semasa dan tidak perlu meletakkan angan yang terlalu tinggi, namun berharap iklim ekonomi dunia bertambah baik yang tentunya akan meningkatkan permintaan terhadap eksport negara," katanya.
Mengenai Hari Keluarga Perbendaharaan, beliau berkata peluang itu perlu digunakan oleh 5,000 warga kerja kementerian dan keluarga yang hadir untuk merapatkan silaturahim dan melapangkan fikiran sekali gus membantu meningkatkan moral warga kerjanya yang kini sibuk dengan urusan penyediaan bajet 2018.
-- BERNAMA