MIC Sudah Hantar Senarai Calon PRU Kepada Pengerusi BN
SEREMBAN, 21 Ogos (Bernama) -- MIC telah menghantar senarai calon Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kepada Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presidennya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata partinya telah menyenaraikan sekurang-kurangnya empat calon bagi setiap kerusi yang akan dipertandingkan.
"Dari situ kita akan kaji prestasi, sumbangan dan sokongan terhadap calon di peringkat akar umbi," katanya kepada Bernama di Konvensyen Tahunan MIC Negeri Sembilan.
Turut hadir Ketua Penerangan MIC kebangsaan Datuk VS Mogan dan Pengerusi MIC negeri Datuk L. Manickam.
Seramai 400 perwakilan menghadiri konvensyen ini.
Ditanya jika ada permintaan dari parti komponen lain BN untuk bertanding di atas kerusi MIC bagi PRU akan datang, Menteri Kesihatan itu berkata perbincangan berkenaan perkara itu biasa berlaku.
Untuk rekod, pada PRU13, kerusi Parlimen Teluk Kemang yang diwakili Mogan tewas kepada pencabarnya Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR) dengan majoriti 1,579 undi.
Begitu juga di kerusi DUN Port Dickson yang berdepan pertembungan tiga penjuru, P.Tanaletchumy tewas kepada M.Ravi (PKR) yang juga penyandang dengan majoriti 2,422 undi.
MIC hanya menang di kerusi Jeram Padang yang diwakili oleh Manickam dalam pertembungan empat penjuru dengan majoriti 2,691.
-- BERNAMA