Ketua Cawangan Perlu Jawab Fitnah Pembangkang
BERA, 23 Ogos (Bernama) -- Ketua cawangan UMNO perlu menjadi benteng dan menjawab segala tohmahan serta fitnah pembangkang yang semakin hebat menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata hampir setiap hari ada sahaja berita tidak tepat dan tanpa fakta terhadap kerajaan, yang dikhuatiri boleh menjejaskan anggota parti yang goyah pendiriannya.
"Pembangkang bukan hendakkan kebenaran tapi untuk timbulkan rasa kurang yakin (terhadap UMNO). Kalau ada perkara yang rasa tidak yakin, boleh tanya pada pemimpin. Mereka boleh terangkan supaya perkara yang benar boleh dijelaskan kepada anggota.
"Di Bera, saya ingatkan mereka untuk tanya terus kepada saya di dalam kumpulan WhatsApp kerana saya berada di dalamnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perjumpaan Khas Ketua UMNO Cawangan-cawangan Bera di Bangunan UMNO di sini, hari ini.
Ismail Sabri menambah ketua cawangan juga perlu menunjukkan jati diri dan keyakinan yang tinggi terhadap parti kerana mereka juga berperanan sebagai benteng kerajaan, menjadikan mereka tidak boleh goyah dengan fitnah pembangkang.
"Jika mereka (ketua cawangan) goyah, maka anggota akan lebih goyang daripada mereka," katanya.
Ismail Sabri juga mengingatkan semua ketua cawangan untuk 'memeriahkan' bilik gerakan masing-masing sebagai amaran bahawa UMNO Bahagian Bera telah bersedia untuk menghadapi PRU14 dan terus melipatgandakan usaha menambah bilangan pengundi.
Katanya, sebagai menarik golongan muda terhadap UMNO, pendekatan seperti mengadakan aktiviti riadah boleh dilaksanakan di bilik gerakan.
Selain itu, beliau juga meminta UMNO Bahagian Bera untuk tidak berada dalam keadaan selesa meskipun beberapa siri ceramah perdana anjuran pembangkang sekitar Parlimen itu tidak mendapat sambutan penduduk.
-- BERNAMA