Zahid Mahu Pemimpin Umno Ada Mentaliti Mahu Menang
KUALA NERUS, 25 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pemimpin-pemimpin UMNO memiliki mentaliti mahu menang yang perlu dijadikan pasak untuk terus bekerja keras dalam usaha mengekalkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas timbalan presiden parti berkata kerja keras itu perlu dilakukan secara berterusan dan bukan sekadar retorik kerana kejayaan cemerlang hanya dicapai menerusi semangat mahu menang yang tinggi.
"Kita perlu ada mentaliti mahu menang dan pasakkan kemenangan (dalam diri masing-masing) di bahagian, cawangan, dan akar umbi. Kita kena berusaha terlebih dahulu, barulah bertawakal dan berdoa kepada Allah (untuk menang)... ini bukan retorik tetapi kena usaha berterusan.
"Kita lihat (semangat untuk menang) ini cuba dinafikan oleh faktor luaran dan kerap kita rasa mahu kecundang ekoran pelbagai isu selain pihak luar cuba meranapkan usaha kita menang pada pilihan raya umum akan datang.
"Dengan kerja keras ini, barulah kita dapat memastikan BN dan UMNO terus memerintah negara dan Terengganu,? katanya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus di Stadium Tertutup Gong Badak di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh merangkap Anggota Parlimen Besut, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Anggota Parlimen Hulu Terengganu Datuk Jailani Johari serta 7,000 anggota perwakilan Bahagian Kuala Nerus.
Ahmad Zahid juga menarik perhatian bahawa kehebatan UMNO berpunca daripada kejayaan yang dicapai dari semasa ke semasa dan bukannya pencapaian sekelip mata.
"UMNO adalah parti yang mempunyai daya tahan yang terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa ibaratnya seperti pelari maraton meskipun ia bermula dengan keadaan yang sukar atau perlahan tetapi tetap sampai ke garisan penamatnya.
"...berbanding dengan parti serpihan yang dilihat seperti pelari pecut, hanya menang satu peringkat tetapi di peringkat lain, mereka kalah,?" katanya.
Bagi mencapai matlamat UMNO menjadi juara di garisan penamat, beliau berkata setiap anggota parti juga perlu memenangi hati dan minda rakyat.
"Untuk kekal sebagai pemimpin di atas, kita kena ambil tahu kebajikan pihak di bawah. Kalau mahu UMNO kekal perkasa, jangan amalkan sikap pilih bulu, pilih kawasan atau bahagian, kena sama-sama bantu semua sekali pihak di bawah.
Jadi calon yang bertanding pada pilihan raya umum akan datang pun ditentukan akar umbi dan bukannya calon ditentukan atau melalui lobi kepada pucuk pimpinan parti," katanya.
Ahmad Zahid turut meminta para pemimpin UMNO supaya mendekatkan diri dengan golongan veteran kerana mereka mempunyai banyak pengalaman berikutan melalui pelbagai perjuangan bersama parti sejak sekian lama.
Pada majlis itu, beliau juga mengumumkan peruntukan kerajaan Persekutuan berjumlah RM3.8 juta bagi membina masjid di Kem Tentera Seberang Takir dan RM500,000 bagi membina sebuah padang bola di Tepoh.
-- BERNAMA