Menang Di Johor Bahru, Buktikan UMNO Juga Kuat Di Bandar




JOHOR BAHRU, 25 Ogos (Bernama) -- UMNO Johor mesti mempertahankan kerusi Parlimen Johor Bahru dalam apa keadaan sekalipun pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sekali gus menyangkal dakwaan bahawa parti keramat itu hanya kuat di luar bandar.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kemenangan itu mustahak demi menyangkal anggapan bahawa UMNO hanya kuat penerimaan dan sokongannya di kawasan luar bandar atau di pedalaman.

Dalam masa sama, ia juga akan membuktikan bahawa UMNO berupaya mewakili masyarakat pelbagai kaum dengan berkesan melalui ciri kepimpinannya yang baik, telus serta amanah sehingga mampu meluaskan pengaruhnya di kawasan yang sangat moden dan sofistikated', kata Menteri Besar itu.

"Johor Bahru adalah bahagian yang istimewa kepada UMNO kerana ia menjadi bukti jelas bahawa UMNO boleh bertapak kukuh dan memimpin di kawasan bandar.

"UMNO Johor Bahru bukan sahaja menjadi juara orang Melayu. Malah ia mewakili masyarakat Malaysia yang 'urban'. Penduduk bandar yang berpendidikan, yang pelbagai kaum, yang mempunyai taraf hidup dan pendedahan yang jauh lebih baik.

"Sebab itu, kita mesti mempertahankan Johor Bahru ini dalam apa keadaan sekalipun kerana ini adalah benteng paling kuat UMNO di kawasan bandar," kata Mohamed Khaled, dalam Persidangan Perwakilan UMNO Johor Bahru yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, hari ini.

Menurut beliau, kemenangan bagi kerusi Johor Bahru juga kritikal kerana daerah itu sedang rancak membangun ke arah menjadi sebuah kuasa ekonomi baharu di Malaysia, hasil daripada kepimpinan UMNO.

"...kerana kedudukan dan kepentingan strategik inilah, Johor Bahru mesti terus diwakili oleh UMNO. Ia tidak boleh terlepas ke tangan orang lain," katanya.

-- BERNAMA