Tidak Perlu Hantar Rombongan Untuk Jadi Calon PRU14 - Zahid





KUALA TERENGGANU, 25 Ogos (Bernama) -- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan anggota parti bahawa tidak perlu rombongan hingga penuh sebuah bas ataupun menghantar memorandum untuk menawan hati Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dalam melobi calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Peringatan itu dinyatakan oleh timbalan perdana menteri yang juga Naib Presiden UMNO menjalankan tugas timbalan presiden parti bagi memastikan calon dipilih berdasarkan kehendak rakyat dan formula tertentu.

"Untuk menentukan calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti bukan mereka yang di atas (pemimpin) tetapi yang di bawah (rakyat). Kita akan terus adakan uji kaji. Siapa yang jadi cita rasa kepada pengundi.

"Kaedah pemilihan lama mungkin berbeza daripada sekarang...Saya dan Najib akan memastikan calon kali ini tidak tersalah pilih. Dengan pendekatan ini saya tidak mahu ada sabotaj kerana kita akan memilih calon boleh menang dan disukai pemilih. Saya menyeru supaya tidak perlu menghantar rombongan dengan bas atau memorandum untuk melobi saya dan Najib," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu di Stadium Negeri di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh merangkap Anggota Parlimen Besut serta Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Anggota Parlimen Hulu Terengganu Datuk Jailani Johari.

Selain itu Ahmad Zahid berkata kehadirannya sebanyak dua kali di Kuala Terengganu tahun ini adalah simbol sokongan terhadap usaha yang dilakukan jentera pilihan raya dan berharap semangat beliau mampu membawa aura positif untuk terus kuat bekerja dalam menghadapi PRU14.

Tambahnya, sejarah kekalahan di Kuala Terengganu boleh berubah jika jentera pilihan raya memainkan peranan menawan hati rakyat memandangkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang kini dipegang Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad tidak lagi bersama PAS.

Katanya, keputusan Raja Kamarul Bahrin bersama Amanah sedikit sebanyak mengguris hati rakyat yang telah memilihnya malah UMNO turut mempunyai peluang di beberapa kawasan lain bagi memadam rekod 0-5 di Kuala Terengganu.

Parlimen Kuala Terengganu mempunyai DUN Wakaf Mempelam (PAS), DUN Batu Burok (PAS), DUN Ladang (PAS) dan Bandar (PKR).



Sementara itu, Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah atas kejayaan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dalan acara sukan kuda lasak sempena temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, baru-baru ini.

Katanya kejayaan Sultan Mizan bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia tetapi juga memberi suatu aura untuk meraih pelbagai kejayaan kepada orang lain terutama rakyat Terengganu.

Pada 20 Ogos lalu, Sultan Mizan meraih emas dalam acara sukan kuda lasak kategori individu apabila tiba di garisan penamat pada 8.18 pagi dengan catatan masa tiga jam 48 minit 38 saat , meleburkan rekod atlet Malaysia iaitu pemenang pingat emas Sukan SEA 2013 di Myanmar, Mohd Sulaiman Muda yang mencatatkan enam jam 26 minit.

-- BERNAMA