Anggota UMNO Perlu Komited Perjuang Parti - Johari




BATU PAHAT, 26 Ogos (Bernama) -- Anggota-anggota Umno perlu komited memperjuangkan parti dengan mengenepikan segala kepentingan peribadi serta tidak mengharapkan apa-apa jawatan sebagai ganjaran.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Johari Abd Ghani berkata sikap anggota yang terlalu mengejar jawatan dan kepentingan peribadi semata-mata tidak akan memberi manfaat untuk jangka panjang malah hanya melemahkan parti.

"Apabila kita memperjuangkan parti, kita kena memperjuangkannya secara penuh kesabaran dan keikhlasan sambil terus berusaha memperbaiki apa yang yang kita rasakan lemah.

"Bukan dengan cara kita keluar atau lari daripada parti apabila tiada jawatan, kemudian masuk semula ke dalam parti,\" katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading di sini, hari ini.

Johari yang juga Menteri Kewangan Kedua berkata sejarah UMNO sendiri turut membuktikan bahawa ramai anggotanya telah keluar masuk parti malah menubuhkan gerakan reformasi dan Semangat 46, ketika berlaku perselisihan pendapat atau mahukan jawatan dalam parti.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Johari berkata asas kejayaan Barisan Nasional dalam memegang tampuk pemerintahan selama 60 tahun hingga kini ialah kerana pemimpin-pemimpin dahulu mengamalkan kesabaran dan ikhlas dalam perjuang mereka.

Katanya, berlandaskan sifat itu, pelbagai pembangunan telah dilakukan bersesuaian dengan peredaran masa.

"Pemimpin-pemimpin dahulu, dia berjuang bukan dapat apa-apa pun..gaji tidak besar, bisnes tiada dan kontrak perniagaan dengan mana-mana pihak pun tiada.

"Tetapi hasil perjuangan mereka, siapa yang memperoleh manfaat? Sudah tentunya anak-anak dan cucu-cucu mereka," jelasnya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sri Gading Datuk Ab Aziz Kaprawi dalam ucapannya di majlis yang sama berkata penerangan tentang hakikat kejayaan Malaysia pada masa ini, perlu dilakukan kepada generasi muda bagi menangkis segala fitnah dilemparkan pembangkang.

"Menjelang pilihan raya umum ini, ramai pihak khususnya pembangkang telah mengambil langkah untuk menjual maruah negara demi kepentingan peribadi.

-- BERNAMA