Perjuangan Parti Menuntut Kesetiaan, Perpaduan Di Kalangan Ahli
LAHAD DATU, 26 Ogos (Bernama) -- Setia dan mengukuhkan perpaduan kalangan ahli penting dalam perjuangan UMNO, kata Ketua UMNO Bahagian Silam Datuk Mohd Yusof Apdal.
Menurut beliau asas perjuangan itu penting dalam menjamin keutuhan sesebuah parti.
"Maka sebab itulah kita kena bersatu dan mengukuhkan perpaduan selain menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden parti.
"Jika kita mahu kuatkan parti perlu ada perpaduan. Sebab itu saya menyeru kepada ahli UMNO khususnya di Bahagian Silam untuk setia dan bersatu padu demi perjuangan UMNO," katanya semasa berucap dalam mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Silam di sini hari ini.
Mesyuarat dirasmikan oleh Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata perjuangan UMNO sebagai parti politik di negara ini bukan seperti parti serpihan yang wujud disebabkan kekecewaan dan kegagalan pada perjuangan.
"UMNO adalah parti yang semata-mata mahu memerdekakan anak bangsa dan negara. Oleh itu, Saya tidak akan tinggalkan UMNO untuk kepentingan diri tapi saya tahu UMNO adalah parti yang perlu kita pertahankan.
"Kalau kita sayang anak cucu cicit kita, UMNO adalah tempat kita berteduh dan berpayung," katanya.
Mengulas lanjut UMNO bertapak di Sabah, Mohd Yusof berkata terlalu banyak kemajuan dan pembangunan yang dilakukan oleh UMNO di negeri dan daerah ini.
"Banyak pembangunan yang disumbangkan termasuk kewujudan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk kemudahan pendidikan masyarakat serta menaiktaraf Hospital Pakar di Lahad Datu dan Hospital Kunak," kata beliau.
-- BERNAMA