Memali: Dakwaan Dr Mahathir Kaitkan Pemimpin PAS Pramatang - Takiyuddin
Datuk Takiyuddin Hassan
KOTA BHARU, 26 Ogos (Bernama) -- Dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengaitkan peranan pemimpin tertentu PAS mengeluarkan amanat sebagai punca berlakunya peristiwa Memali, adalah pramatang, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata kerajaan belum lagi menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) namun pelbagai pihak telah membuat 'penghakiman dan keputusan' masing-masing tanpa memberi peluang kepada pihak yang dikatakan terlibat tampil memberi penjelasan.
"RCI tak tubuh lagi anda dah buat keputusan. Janganlah macam tu, biarlah RCI dengar (panggil semua pihak yang difikirkan terlibat... dengar (panggil) Haji Hadi (Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang), dengar Tun Dr Mahathir, dengar Tun Musa Hitam.
"(Kemudian) barulah kita buat decision. Kita tak boleh pre-judge, buat keputusan awal," katanya ketika ditemui pemberita pada sambutan Hari Koperasi Negara 2017 Peringkat Negeri Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, hari ini.
Majlis yang dirasmikan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob itu turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed; dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Semalam, Dr Mahathir dilaporkan sebagai berkata tindakan pemimpin PAS mengeluarkan satu amanat menjadi punca tercetusnya peristiwa Memali itu yang mengorbankan 18 orang termasuk empat anggota polis, dan ramai yang lain cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap seorang guru, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya.
Dr Mahathir merupakan perdana menteri ketika peristiwa itu berlaku pada November 1985.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berharap mana-mana pihak yang akan dipanggil RCI, memberi keterangan/kenyataan tepat berhubung peristiwa tersebut memandangkan banyak fakta bercanggah antara pihak keselamatan dan orang politik.
-- BERNAMA