Ketua AMK Kelantan Dipecat Serta-merta
KOTA BHARU, 28 Ogos (Bernama) -- Kemelut dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan hari ini menyaksikan Dr Mohd Hafidz Rizal Amran dipecat daripada jawatannya selaku Ketua Angkatan Muda (AMK) Kelantan, berkuat kuasa serta-merta.
Dr Mohd Hafizd Rizal berkata pemecatannya dimaklumkan oleh Ketua AMK Pusat Nik Nazmi Nik Ahmad kepada beliau menerusi aplikasi WhatsApp pagi tadi.
"Saya telah menerima (pesanan) WhatsApp daripada YB Nik Nazmi Nik Ahmad pada jam 9.08 pagi ini yang memecat saya serta-merta daripada jawatan Ketua AMK Kelantan," katanya menerusi catatan di laman sosial Facebooknya.
Ketika dihubungi Bernama kemudian, Dr Mohd Hafidz Rizal enggan mengulas mengenai pemecatannya itu, sebaliknya berkata beliau akan mengadakan sidang media di ibu negara esok.
Media sebelum ini melaporkan PKR Kelantan kini berpecah ekoran ada pemimpin yang 'mesra PAS' walaupun parti tersebut telah memutuskan kerjasamanya dengan PKR dan antara nama yang didakwa dalam kumpulan itu ialah Dr Mohd Hafidz Rizal.
Kemelut bertambah buruk apabila Jawatankuasa AMK Kelantan mengumumkan hilang sokongan terhadap Dr Mohd Hafidz Rizal serta mendesaknya meletak jawatan.
Ini disusuli dengan memorandum yang dikatakan ditandatangani pemimpin AMK peringkat cabang yang kemudian dihantar kepada pucuk pimpinan pusat.
-- BERNAMA