Masyarakat Cina Semakin Mesra BN - Chong
SEREMBAN, 2 Sept (Bernama) -- Sokongan pengundi Cina di negara ini kepada Barisan Nasional (BN) khususnya MCA semakin positif dan ia diterjemahkan melalui kehadiran beramai-ramai di setiap program anjuran parti itu seperti Jalinan Rakyat (JR) Plus.
Ketua Pemuda MCA Datuk Chong Sin Woon berkata sentimen masyarakat Cina hari ini adalah lebih baik dan mesra BN, berbanding sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang dilihat seakan menolak kehadiran pemimpin BN di kawasan mereka.
"Hari ini kalau kita boleh lihat, apabila calon-calon kita turun padang mereka ini telah disambut dengan baik malah ada dikalangan masyarakat Cina juga sudah boleh meminta untuk bergambar bersama. Bagi saya ini satu petunjuk yang baik.
"Kalau sebelum ini, kadang-kadang mereka ini tidak hendak berjabat tangan pun dengan kita dan tidak mahu mengambil risalah yang kita edarkan kerana lebih terpengaruh dengan dakyah pembangkang," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidiladha bersama jemaah Masjid Kariah Kampung Dacing dan Masjid Kariah Taman Panchor Jaya di Masjid Kariah Taman Panchor Jaya di sini.
JR Plus yang dilancarkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak pada 14 April lepas merupakan satu langkah agresif parti untuk memantap lagi jentera BN khususnya dalam menghadapi waktu-waktu kecederaan sebelum tiba PRU14 tidak lama lagi.
Sementara itu, Chong berkata jentera MCA sudah siap sepenuhnya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang dan berazam untuk menebus kekecewaan yang dialami pada PRU13.
"Kita ada perpaduan yang kuat di kalangan MCA pada hari ini termasuk di Negeri Sembilan dan kita akur bahawa kita ada isu pada PRU yang lepas tetapi telah pun diselesaikan dan kita juga telah mengenal pasti calon yang berpotensi lebih awal.
Pada PRU13, MCA menang tujuh kerusi parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada keseluruhan 37 kerusi parlimen dan 90 kerusi DUN yang ditandinginya.
-- BERNAMA