PRU14: MCA Sedia Tukar Kerusi Dengan Komponen BN - Liow
KANGAR, 3 Sept (Bernama) -- MCA sedia berbincang dengan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk bertukar kerusi bagi meningkatkan peluang kemenangan calon masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata setakat ini, isu pembahagian kerusi tidak berbangkit dan MCA berpuas hati dengan pembahagian kerusi berdasarkan kuota PRU13.
"Sekiranya pertukaran (kerusi) lebih baik untuk BN, kita sedia tukar kerusi. Apabila kata putus dibuat, kita akan umumkan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan anggota jawatankuasa MCA Perlis di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi MCA Perlis Datuk Chua Tee Yong.
Liow berkata MCA juga berpuas hati kerana usaha yang dilaksanakannya telah meningkatkan sokongan dan keyakinan masyarakat Cina terhadap kepimpinan negara khususnya yang berkaitan rancangan pembangunan ekonomi dan penyediaan struktur asas serta kebajikan untuk rakyat.
"Analisis biometrik menunjukkan terdapat peningkatan sokongan terhadap kerajaan dan ini baik untuk BN dalam menghadapi PRU14," katanya sambil memberitahu bahawa juga beliau berpuas hati dengan persediaan MCA Perlis yang bekerjasama rapat dengan UMNO untuk menghadapi PRU14.
Dalam pada itu, Liow yang juga Menteri Pengangkutan berkata kementerian menyokong penuh keputusan kerajaan negeri Perlis membangunkan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) di Chuping bagi menyokong projek pembangunan Kawasan Industri Lembah Chuping (CVIA).
Beliau berkata Kementerian Pengangkutan melalui Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) memperuntukkan RM24 juta bagi meningkatkan infrastruktur stesyen kargo Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Padang Besar termasuk melengkapkannya dengan peralatan baharu yang canggih.
"Usaha menaik taraf stesen itu dapat meningkatkan pengendalian kargo kepada 1.5 juta TEU setahun berbanding satu juta TEU pada masa ini selain menambah kapasiti pengendalian kargo di pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Kelang," katanya.
Kementerian juga akan membantu kerajaan negeri Perlis menjayakan PIP kerana Stesen KTMB Padang Besar yang seluas 5.66 hektar tidak cukup luas untuk menampung jumlah kargo dari Selatan Thai yang dijangka meningkat dengan banyak.
-- BERNAMA