Anggota UMNO Jangan Amal Budaya Jatuhkan Rakan Dalam Parti
TAWAU, 6 Sept (Bernama) -- Ketua Bahagian UMNO Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh mengingatkan anggota UMNO agar tidak mengamalkan budaya menjatuhkan rakan dalam parti semata-mata ingin dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau yang juga Anggota Parlimen Kalabakan berkata anggota yang berhasrat menjadi calon perlu bekerja keras dan turun padang mendekati rakyat daripada menjatuhkan dan memfitnah rakan seperjuangan dalam parti.
"Bekerja keras dekati rakyat, ini adalah antara kriteria calon yang dinilai oleh pucuk pimpinan parti Presiden Parti UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Aman.
"Bukannya menghasut dan memburuk-burukkan orang lain," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, Ghapur turut kesal dengan tindakan seorang individu di Kampung Mentadak Baru, Pulau Sebatik memasang papan tanda penuh pelbagai dakwaan negatif ke atas Anggota Dewan Undangan Negeri Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho.
Ghapur berkata, dakwaan yang dilemparkan itu sebagai tidak berasas dan bermotifkan agenda peribadi.
--BERNAMA