Komponen BN Kukuh, Senada Hadapi PRU14 - Hishamuddin




KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Persefahaman dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) khususnya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kini berada pada landasan yang cukup kukuh serta senada dengan setiap keputusan yang ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata penerimaan dan semangat yang ditunjukkan kesemua presiden parti komponen BN amat baik daripada segi persefahaman untuk keutuhan parti.

"Soal persefahaman ini ditekankan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib sendiri. Saya yakin penerimaan seluruh parti komponen amat baik. Mereka pun memahami sangat konsep BN dalam keadaan pembangkang berkecamuk dan tidak ada hala tuju yang jelas.

"Yang penting sekarang jangan kita benarkan apa sahaja perkara yang dibangkitkan memecahbelahkan kesatuan antara komponen yang ada dalam BN ketika ini, dan terus utuh sehingga PRU14 nanti,"katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan Najib di Menara Dato' Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata senario ini selaras dengan persiapan BN untuk menghadapi PRU14 yang fokus kepada penyelarasan saf-saf dalam kalangan komponen parti supaya lebih tersusun dan teratur.

Sementara itu, Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata partinya sentiasa mengutamakan keperluan BN untuk menang pada setiap kerusi yang dipertandingkan dengan memastikan tidak berbangkit sebarang perselisihan faham dalam semua aspek persediaan termasuk pembahagian kerusi.

"MIC akan pastikan isu dalaman parti dikurangkan serta tidak berlaku perebutan kerusi. Ini kerana setiap calon yang bertanding ditetapkan oleh presiden parti sendiri,"katanya.

Dr Subramaniam berkata parti itu juga berpegang kepada prinsip menghormati pucuk pimpinan dan keputusan yang ditetapkan secara bersama termasuk pengagihan kerusi.

"Mengenai kerusi di Cameron Highlands, kita tak bincang secara spesifik. Seperti saranan perdana menteri, kita mesti utamakan parti dan tiada individu yang harus buat kenyataan yang membelakangi pucuk pimpinan.

"Pertukaran kerusi pula adalah sesuatu yang tidak mustahil dalam BN. Apa yang penting calon ditentukan adalah berdasarkan kepentingan dan perjanjian bersama,"katanya ketika diminta mengulas mengenai kedudukan kerusi Parlimen Cameron Highlands dan kemungkinan berlaku pertukaran kerusi pada PRU14 ini.

Sebelum ini, MIC mahu kerusi Cameron Highlands yang juga menjadi kerusi tradisi parti itu kekal ditandingi MIC pada PRU14.Kerusi itu kini disandang bekas Presiden Datuk Seri G. Palanivel.

Pengerusi MyPPP, Tan Sri M. Kayveas, yang ditemui, turut akur dengan sebarang keputusan pucuk pimpinan berhubung pengagihan kerusi termasuk calon-calon yang terpilih.

"Kita membiarkan bos (perdana menteri) untuk memutuskan. Kita akan terus bekerja dengan semangat perpaduan parti komponen BN kerana ia lebih penting daripada siapa yang akan dapat kerusi.

"Kami sedar kini kami berada di pusingan akhir PRU14 dan kami dimaklumkan untuk berusaha dengan lebih gigih. Kita yakin pengerusi BN akan buat satu keputusan yang adil untuk semua parti komponen calon kerusi Cameron Highlands,"katanya yang turut pernah membayangkan hasrat untuk bertanding di kawasan Parlimen Cameron Highlands itu.

-- BERNAMA