Gerakan Lantik Penyelaras Di Setiap DUN Hadapi PRU14 - Mah
IPOH, 10 Sept (Bernama) -- Gerakan telah melantik penyelaras di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak tiga tahun lepas bagi melancarkan gerak kerja parti dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Presidennya Datuk Seri Mah Siew Kiong berkata langkah itu diambil sebagai mengambil iktibar daripada kekalahan teruk dialami parti itu pada PRU13.
"Kami lantik penyelaras ini untuk melicinkan gerak kerja parti dan mengambil iktibar daripada kekalahan yang berlaku pada PRU13. Pelantikan ini juga membuktikan kami serius dan bersedia untuk menghadapi PRU14," katanya .
Mah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Gerakan Negeri Perak Tahun 2017 yang dihadiri 524 perwakilan parti seluruh negeri di sini, Ahad.
Ditanya jumlah kerusi DUN yang mungkin ditandingi Gerakan pada PRU14, katanya, perkara itu masih dalam perbincangan namun menurutnya empat kerusi DUN sedang dalam pemerhatian parti.
Mah yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi turut menggesa setiap anggota Gerakan menggunakan medium media sosial bagi menarik sokongan para pengundi terutama belia dan golongan atas pagar untuk mengundi BN pada PRU14.
"Medium media sosial amat penting dalam menyampaikan sesuatu berita atau maklumat. Saya akui kita (Gerakan) agak ketinggalan dan gagal pada dua pilihan raya terdahulu disebabkan perkara ini," katanya.
Dalam pada itu, Mah yakin BN akan mengekalkan kemenangan di Perak dalam PRU14 berdasarkan pelbagai pembangunan terutama di kawasan luar bandar telah dilaksanakan di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
-- BERNAMA