BN Tanpa Gagal Sedia Ruang Dan Peluang Pendidikan Rakyat Sabah
SEMPORNA, 20 Sept (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional tanpa gagal menyediakan pelbagai ruang dan peluang pendidikan kepada rakyat Sabah termasuk ke arah pembangunan modal insan, kata Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Ramlee Marahaban.
Beliau berkata pilihan terlalu luas kepada rakyat malahan pelajar sekolah boleh memilih sama ada melanjutkan pelajaran dalam bidang akademik mahupun teknikal.
"Pendidikan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dan sebab itu pelbagai medium bantuan termasuk biasiswa pendidikan disediakan bagi pelajar yang kurang berkemampuan
"Selain itu, kerajaan turut menubuhkan pelbagai pusat pendidikan di setiap negeri bagi mendedahkan pelajar dengan segenap ilmu pendidikan termasuk ilmu kemahiran dengan mewujudkan kolej komuniti dan giat mara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Eskplorasi Pendidikan Pan-Borneo (EPPB) 2017 Zon Sabah di SMK Datuk Seri Panglima Jakarullah di sini, hari ini.
Pada program itu seramai 300 pelajar dari sembilan sekolah menengah di daerah ini hadir dengan pelbagai aktiviti diadakan antaranya taklimat pendidikan, gerai pameran berkaitan informasi pendidikan.
Program ini adalah anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik (JPL), Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti (JPKK) dan Jabatab Pendidikan Tinggi (JPT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang bermula 6 hingga 23 September.
Terdahulu Ramlee yang juga wakil rakyat Bugaya berkata program EPPB Zon Sabah dapat memberi sokongan moral dan motivasi kepada pelajar untuk mengetahui peluang pembelajaran.
"Semporna adalah lokasi kesembilan dan ianya sangat bermanfaat kerana memberi pendedahan bidang-bidang dan universiti pilihan kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian ke menara gading," katanya.
-- BERNAMA