UMNO Sabah Tidak Kisah Pembangkang Buka Cawangan
SEMPORNA, 20 Sept (Bernama) -- UMNO Sabah tidak peduli dengan pendekatan parti pembangkang dalam meraih sokongan pengundi di negeri ini termasuk membuka cawangan di kubu kuat Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Ramlee Marahaban.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah itu berkata pendekatan tersebut pembangkang itu dialu-alukan kerana UMNO dan BN Sabah tidak gentar malah bersedia untuk berhadapan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
"Saya cabar jika mereka mahu buka cawangan atau meletakkan calon di mana-mana kawasan sekali pun, silakan kerana kita (BN) cukup bersedia," katanya, ketika ditemui pemberita selepas meninjau keadaan jalan di Kampung Bubul Lama yang terhakis, di sini hari ini.
Ramlee berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang kononnya DAP akan membuka cawangan di kubu kuat Umno dan BN termasuk kawasan Ketua Badan Perhubungan Umno Sabah, Tan Sri Musa Aman di Libaran.
Sementara itu, Ramlee berkata akan lebih ramai anggota pembangkang mengikut jejak langkah Tan Sri Muhamad Muhammad Taib yang kembali menyertai UMNO.
"Kita percaya bahawa tindakan beliau menyertai parti pembangkang dahulu kerana merajuk namun hati dan jiwanya kekal bersama UMNO," katanya.
Beliau turut menambah bahawa tindakan Muhammad atau Mat Taib itu akan memberi sumbangan khususnya kepada Selangor.
Terdahulu dalam tinjauannya itu, beliau berkata akan membaik pulih jalan tersebut yang merupakan antara jalan digunakan penduduk kampung termasuk untuk ke tanah perkuburan.
Katanya, kerja-kerja membaiki jalan itu memberi manfaat kepada lebih 5,000 penduduk di kawasan sekitar.
-- BERNAMA