Biro IT UMNO Dimantapkan Tangkis Fitnah Pembangkang - Ahmad
MACHANG, 21 Sept (Bernama) -- UMNO akan memantapkan keupayaan Biro Teknologi Maklumatnya supaya lebih tangkas menangkis serangan pelbagai fitnah yang ditabur oleh pembangkang terhadap kerajaan dan kepimpinan parti itu,kata pengerusi biro itu Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata usaha pemantapan akan dilakukan segera melibatkan kesemua cawangan dan bahagian.
"Dulu sudah ada biro IT di setiap bahagian tetapi tidak tersusun dan sekarang kita akan melengkapkannya meliputi peringkat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Bengkel Teknikal Maya Negeri Kelantan di sini, hari ini.
Bengkel yang disertai 65 peserta mewakili setiap UMNO bahagian di negeri ini dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Ahmad berkata anggota biro itu akan dilatih menerusi bengkel-bengkel yang mengandungi tiga fasa iaitu membabitkan ilmu media sosial, kemahiran mencipta video pendek menggunakan telefon pintar dan menghebahkannya dalam media sosial termasuk Facebook.
"Ia juga membabitkan bidang info grafik yang memaparkan cerita-cerita pendek bergambar dan menarik untuk memikat minat pembaca yang tidak suka membaca laporan yang panjang," katanya.
-- BERNAMA